Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 1 Ogos 2026 — Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 hari ini memulakan jelajah ke seluruh daerah di Sabah sehingga 31 Ogos untuk mendekati masyarakat bandar dan luar bandar untuk menyemarakkan semangat patriotisme sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026.
Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JAPEN) itu melibatkan penyertaan 25 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) bersama beberapa wakil sektor swasta dalam usaha menyampaikan mesej cintakan negara dan negeri kepada rakyat di seluruh Sabah.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 di perkarangan Menara Kinabalu pagi ini.
Konvoi kemudian bergerak di sekitar Kota Kinabalu menuju ke beberapa check point antaranya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Dewan Masyarakat Manggatal dan Foh Sang.
Pengarah JAPEN, Jainisah Mohd Noor berkata KMJG terus menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme melalui pelbagai aktiviti dan pengisian sepanjang jelajah.

“KMJG seperti tahun-tahun lepas, akan menjelajah ke setiap daerah sehingga 31 Ogos untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, selain membawa mesej cintakan negara dan negeri melalui pelbagai pendekatan,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu dalam segmen Santai Jak Bah di TV Sabah, Khamis lepas.
Beliau berkata penyertaan syarikat swasta dari sektor ekonomi gig seperti MAXIM E-hailing pada tahun ini membuktikan semangat patriotisme dapat dizahirkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bidang pekerjaan.
“Melalui penyertaan mereka, ia selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.
“Penglibatan ini bukan sahaja memeriahkan konvoi, malah menjadi platform untuk mengetengahkan peranan ekonomi gig sebagai antara sektor yang semakin berkembang dan memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara fleksibel,” ujarnya.
Jainisah berharap masyarakat di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di premis masing-masing sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah sebagai lambang semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Sumber: JAPEN

