Kerjasama SAFVA dan Geomatika perkasa industri kreatif

photo 2026 07 01 09 41 28

KOTA KINABALU: 1 Julai 2026 – Persatuan Filem & Visual Sabah (SAFVA) dan Kolej Geomatika Keningau bersetuju menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri kreatif di Sabah.

Persetujuan itu dicapai dalam satu kunjungan hormat delegasi Kolej Geomatika Keningau ke pejabat SAFVA kelmarin.

Delegasi kolej berkenaan diketuai Timbalan Rektor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Bonnely Jamadil, dan disambut oleh Presiden SAFVA, Chester Pang.

Dalam pertemuan itu, wakil Kolej Geomatika Keningau, Ryot Ujin, membentangkan perkembangan semasa institusi berkenaan termasuk penglibatan aktif pelajar dalam pelbagai program pembelajaran dan latihan berasaskan industri yang selaras dengan keperluan silibus akademik, khususnya dalam bidang kreatif.

Hasil perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan pemain industri menerusi pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, latihan kemahiran, pendedahan industri dan penyediaan peluang kerjaya kepada graduan.

Kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pembangunan ekosistem industri kreatif Sabah yang lebih mampan menerusi penyelarasan antara keperluan industri dan latihan akademik.

Sebagai langkah susulan, Kolej Geomatika Keningau menjemput SAFVA mengadakan lawatan rasmi ke kampus institusi berkenaan untuk memeterai Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) yang bakal menjadi asas kepada pelaksanaan program dan aktiviti bersama pada masa hadapan.

Kerjasama yang dirancang itu dilihat mampu memperkukuh jaringan antara sektor pendidikan dan industri kreatif, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi keperluan industri kreatif di Sabah.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pegawai Eksekutif SAFVA, Esthaer Zaino; Ketua Biro Warisan dan Kebudayaan SAFVA, Nadira Ilana; dan Eksekutif Pemasaran Digital Kolej Geomatika Keningau, Muhammad Shafie Ikmal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal