Monday, December 23, 2024

KEMPEN KONVENSIONAL MASIH RELEVAN

Oleh Amanina Mohamad Yusof

KUALA LUMPUR- Sekalipun tempoh rasmi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 hanya akan bermula Sabtu ini, iaitu sebaik selesai penamaan calon, hakikatnya pemimpin-pemimpin politik telah menguar-uarkan “kelebihan mereka” dan “kelemahan lawan” sejak desas-desus pilihan raya mula kedengaran.


Rata-rata menjadikan media sosial sebagai “gelanggang pertarungan” mereka, dan pastinya sepanjang tempoh berkempen 14 hari yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) selepas penamaan calon pada lusa, suasana di gelanggang terbabit akan bertambah “panas”.


Lebih-lebih lagi pilihan raya umum (PRU) kali ini bakal menyaksikan kira-kira 3.8 juta pengundi muda termasuk generasi Z, iaitu kelompok usia 18 hingga 25 tahun yang rata-rata celik dunia maya, membuang undi buat pertama kali.


Namun, di sebalik keghairahan calon-calon Yang Berhormat (YB) ini memanfaatkan platform maya untuk memikat hati mereka, pemerhati politik berpandangan pentas kempen konvensional seperti turun padang, ceramah dan “perang bendera” serta poster masih relevan, terutama untuk menarik pengundi “atas pagar”.


PAMER KEPRIHATINAN
Mengulas mengenainya, pakar psikologi Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata kempen secara fizikal terutama dari pintu ke pintu, program kemasyarakatan serta ceramah politik masih lagi berpengaruh dalam menambat hati pengundi kerana kaedah itu menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan calon.
Menurutnya, dengan cara itu juga pengundi boleh menilai keperibadian calon YB yang ingin mewakili mereka selain menjadi ruang terbaik bagi yang bertanding menjelaskan isu-isu berbangkit secara bersemuka.
“Apabila pengundi setempat jelas dengan hasrat dan agenda bakal pemimpin, ini akan memberi keyakinan kepada mereka untuk memilih calon yang dirasakan layak memimpin mereka.


“Keprihatinan ini memberi impak positif kepada pengundi dan boleh mempengaruhi mereka yang masih belum membuat keputusan siapa (calon) yang wajar dipilih,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.


Wan Marzuki yang juga Presiden Lembaga Kaunselor, berkata perang poster dan bendera parti yang berwarna-warni pula bukan sahaja memeriahkan suasana pilihan raya tetapi turut memberi bayangan akan “kekuatan” sesebuah parti yang bertanding.
“Dari sudut psikologi, kempen fizikal atau perang bendera memang berpotensi memberi impak secara tidak langsung dalam mempamerkan kekuatan seseorang pemimpin atau parti.


“Kerana itu, parti atau calon bertanding tidak boleh mengabaikan strategi perang bendera dan kempen fizikal walaupun kempen di media sosial dilihat sangat berpengaruh dan menjadi platform utama ketika ini,” katanya.

Kerelevanan gelanggang konvensional dalam pilihan raya turut dipersetujui Dr Jamaie Hamil, pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berkata ia platform terbaik bagi parti pembangkang memperkenalkan calon dan menjelaskan manifesto mereka.


Ini kerana katanya, media arus perdana, terutama televisyen yang masih menjadi saluran utama majoriti rakyat mendapatkan maklumat, lazimnya dikuasai oleh parti memerintah.
“Televisyen merupakan saluran paling banyak ditonton masyarakat walaupun ketika ini sudah ada pelbagai media sosial, namun ia biasanya hanya boleh digunakan parti pemerintah dan kerana itulah pentas konvensional ini dapat membantu parti pembangkang,” katanya.


IKUT TEMPAT
Bagaimanapun, penganalisis politik Dr Russli Kamarudin berpandangan pentas konvensional kini hanya relevan di sesetengah kawasan seperti luar bandar dan pedalaman, serta untuk kelompok warga emas yang biasanya lebih selesa mendengar ceramah politik dan bersemuka dengan calon.


Keterbatasan akses liputan Internet dan kemudahan peranti di kawasan pedalaman juga menjadikan program turun padang lebih sesuai di kawasan berkenaan.
Di bandar pula, rakyat, khususnya golongan muda, lebih selesa mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial termasuk tentang isu politik, kata pensyarah kanan di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa UKM itu.


Pada masa sama, beliau tidak menolak kepentingan kempen secara konvensional, yang mana menurut beliau, masih diamalkan oleh negara luar.
“Amerika Syarikat misalnya, ketika pilihan raya presiden di negara itu, debat merupakan sebahagian daripada kempen iaitu calon presiden berpeluang berhujah menjelaskan dan mempertahankan agenda masing-masing,” ujar beliau.


Sementara itu, penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata parti-parti bertanding perlu memperhebat kempen menerusi media sosial bagi memikat pengundi muda, terutama dalam kalangan atas pagar.
“Dalam keadaan sekarang, memang pengundi muda akan tertumpu kepada media sosial untuk menilai calon yang sesuai diangkat mewakili suara mereka.


“Maklumat tentang tokoh, parti dan isu politik yang mudah diperoleh daripada media sosial, biasanya akan dibincangkan dalam kalangan pengundi muda dan seterusnya menjadi panduan kepada mereka semasa membuat pilihan,” katanya.
Syed Agil berkata walaupun dalam kebanyakan keadaan, pengaruh ibu bapa dan orang sekeliling mencorakkan pilihan pengundi muda, peranan media sosial dalam membantu mereka memangkah kertas undi tidak boleh dinafikan.


SUARA PENGUNDI
Bagi Abdul Halim Abdul Rahman, 38, kedua-dua kaedah kempen – konvensional dan media sosial – amat penting dalam membantunya membuat keputusan di atas kertas undi.

“Bagi mereka yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik seperti saya, kempen fizikal seperti ceramah, program kemasyarakatan memang membantu menambah keyakinan dalam membuat pertimbangan.


“Media sosial pula merupakan platform saya mendapatkan maklumat mengenai calon dan parti dengan lebih cepat, ringkas dan padat yang sukar diperoleh melalui kaedah konvensional,” katanya.
Suri rumah Norazizi Abdullah, 57, pula lebih tertarik dengan kempen secara fizikal yang katanya lebih meriah selain membantunya mengenali keperibadian seseorang calon.
“Kalau ikutkan, kempen fizikal lebih terasa bahang pilihan raya apabila terdapat banyak bendera dan poster. Ini menampakkan parti dan calon tersebut lebih diyakini dan disukai,” katanya.


Menurut SPR, seramai 21.17 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada PRU15 ini dengan 1.39 juta adalah pemilih berusia 18 hingga 20 tahun.
SPR sebelum ini menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian dan 5 Nov untuk penamaan calon. Pengundian awal akan berlangsung pada 15 Nov.


Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas, sekali gus mengosongkan 222 kerusi Dewan Rakyat. Uniknya PRU kali ini tidak membabitkan pembubaran semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Hanya Perak, Pahang dan Perlis membubarkan DUN mereka, membabitkan 59, 42 dan 15 kerusi DUN masing-masing.


Turut diadakan serentak ialah Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah.

– BERNAMA

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights