TELUPID: 3 Oktober 2026 – Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah 2026 Zon Telupid menjadi platform strategik untuk meluaskan pasaran produk tempatan, meningkatkan jualan dan memperkukuh daya saing usahawan luar bandar.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan peluang pembangunan keusahawanan turut dinikmati masyarakat luar bandar.
“Pemilihan Telupid sebagai lokasi penganjuran karnival ini membawa makna besar kerana ia menunjukkan agenda pembangunan keusahawanan kerajaan turut dibawa ke kawasan luar bandar,” katanya semasa merasmikan Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Telupid di Tapak Tamu Pekan Telupid, hari ini.
Karnival julung kali dianjurkan di daerah itu menghimpunkan 30 gerai usahawan PMKS di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dan 60 gerai penjaja dan peniaga kecil di bawah Majlis Daerah Telupid.
Turut mengambil bahagian ialah Jualan Rahmah MADANI anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jualan MADANI Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Jonnybone berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kualiti produk, termasuk Program Bantuan SME-UP yang menyediakan peruntukan RM15 juta.
“Peluang yang disediakan perlu disusuli dengan tindakan. Usahawan hendaklah memanfaatkan bantuan kerajaan sebaik mungkin, mengenali pasaran dan terus memperbaiki produk supaya mampu bersaing,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan telah menerima bantuan mesin dan peralatan menerusi program berkenaan.Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan 115 usahawan PMKS Sabah dalam 18 ekspo pada 2025 berjaya menjana potensi jualan RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.
Jonnybone berharap karnival itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak peluang perniagaan dan kejayaan usahawan Telupid, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan peningkatan taraf hidup masyarakat.


