Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 5 September 2026 – Lapan pelajar Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya menerbitkan dua kajian berkaitan projek alam sekitar mereka dalam Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR) edisi 2026, menerusi penghasilan produk pembersih berasaskan sisa buah-buahan.
Kajian yang diterbitkan oleh Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) itu menilai keberkesanan produk dikenali sebagai ‘Mr. Wishy Washy’, yang dihasilkan melalui proses penapaian isi dan kulit buah-buahan yang tidak lagi sesuai dimakan.
Satu kajian meneliti maklum balas pengguna terhadap produk berkenaan, manakala kajian kedua mengenal pasti faktor yang mendorong golongan belia menyertai aktiviti kesukarelawanan membersihkan kawasan awam menggunakan produk tersebut.
Dapatan kajian menunjukkan ‘Mr. Wishy Washy’ berkesan membersihkan permukaan kasar tanpa menghasilkan bau dan buih berlebihan, selain berpotensi menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata penerbitan dua kajian itu membuktikan projek pelajar bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat, malah mampu dikembangkan melalui penyelidikan ilmiah.
“Ini satu pencapaian yang membanggakan kerana pelajar bukan sahaja menghasilkan inovasi, tetapi turut menjalankan penyelidikan dan menerbitkan hasil kajian mereka,” katanya.
Lapan pelajar terbabit ialah Mohd Afiq Adam, Nur Syaidattul Akma, Mohd Azerin Zepin @ Sion, Syehekeel Daniel Hanry, Adib Irfan Tony, Mubashir Jilin, Faiz Akif Shahmi Rujili dan Sheera Adriani Usop.
Mereka mendapat bimbingan beberapa guru KV Keningau dan pengasas Keningau Nature Farm, Jason Wong Kok Ming.

