KOTA KINABALU: 9 Oktober 2026 – Persatuan Bakat Seni & Kreativiti Sabah (PBSKS) menganjurkan Karnival Citra Budaya Kreatif Sabah 2026 pada 3 dan 4 Oktober lalu di Exhibition Hall, Kompleks Karamunsing.
Karnival dua hari yang bertemakan “Budaya Kita, Kreativiti Masa Depan” itu bertujuan menyediakan platform ekspresi kreatif untuk memartabatkan identiti budaya tempatan dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi PBSKS merangkap Ketua Penganjur, Noorjana Rikun, berkata karnival itu menjadi platform bersepadu yang menghimpunkan bakat seni, budaya, industri kreatif, fesyen, kecantikan dan komuniti usahawan tempatan.
“Kami mahu memperkenalkan dan mengangkat keunikan warisan Sabah supaya golongan muda mempunyai ruang menunjukkan kemampuan, membina keyakinan dan membuka peluang dalam industri kreatif.
“Selain itu, program ini mempromosikan Sabah sebagai destinasi budaya dan pelancongan, selain memberi peluang kepada vendor tempatan memperkenalkan produk mereka,” katanya.
Penganjuran bermula jam 9 pagi hingga 10 malam. Ia padat dengan siri kejohanan interaktif yang menggabungkan elemen seni tradisional dan kontemporari.

Hari pertama menyaksikan saingan Coloring Contest, disusuli acungan warisan menerusi Pertandingan Sipak Manggis dan Pertandingan Penjaram Tercantik. Acara sebelah malam diteruskan dengan pentas peragaan The Supertalented Catwalk Borneo 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan mencecah RM9,000.

Hari kedua memberi tumpuan kepada industri kecantikan tempatan menerusi program Bengkel Memperkasa Wanita dan Bridal Makeup Competition 2026 bernilai RM5,000, sebelum diteruskan dengan Pertandingan Ratu Etnik & Kebudayaan PBSKS 2026 yang menawarkan hadiah terkumpul RM6,000.
Kemuncak karnival ialah Pertandingan Lagu OST anjuran Gabungan Kreatif Sabah dengan anggaran perbelanjaan RM10,000, yang menyaksikan pemilihan sengit bagi memilih 10 karya terbaik tempatan untuk mara ke pentas akhir pada Disember depan.

Program berskala besar ini turut mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Yayasan Sabah, Fristella, Beauty Wonderland, Dong Sin dan Tinah Carine.
Mengulas impak program itu, Noorjana menzahirkan rasa syukur kerana kesemua objektif utama dan sasaran yang ditetapkan PBSKS berjaya dicapai sepenuhnya.
Karnival ini turut mencatatkan impak ekonomi yang positif melalui penglibatan 17 vendor tempatan. Sesetengah usahawan berjaya mencapai sasaran jualan sehingga RM15,000 dalam tempoh dua hari dengan anggaran jumlah pendapatan keseluruhan vendor mencecah RM50,000 ke atas.
“Kejayaan sebenar PBSKS bukan hanya diukur melalui jumlah pengunjung, tetapi melalui berapa ramai bakat yang mendapat peluang dan berapa banyak jaringan perniagaan yang terbentuk.
“Harapan kami ialah supaya para penggiat seni jangan berhenti selepas satu program sahaja. Teruskan berkarya dan gunakan setiap peluang untuk memperkenalkan bakat masing-masing,” tambah Noorjana.
Pada masa depan, PBSKS merancang memperbanyakkan program pembangunan bakat, latihan dan bengkel, serta memperluas kerjasama strategik untuk membawa industri kreatif Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa.

The Supertalented Catwalk Borneo 2026
- Kategori Kanak-kanak: Elnara Asha (Johan), Noorqueenara (Naib Johan), Eyrina Mikayla Nadel (Ketiga).
- Kategori Remaja: Nurqaleysha Michelle Adriana (Johan), Ariana Nour Marrisa (Naib Johan), Nur Natasya Aiman Dania (Ketiga).

Ratu Etnik & Kebudayaan PBSKS 2026
- Kategori Kanak-kanak: Naura Maisarah Bolkiah (Johan), Jennifer Ho (Naib Johan), Nafeeza Kahlisa Abd Rashid (Ketiga).
- Kategori Remaja: Elvianna Rose Elvester (Johan), Ariana Nour Marrisa (Naib Johan), Puteri Mayshara Abd Rashid (Ketiga).
- Kategori Dewasa: Dynon Affendy Koroh (Johan), Syakila Jantan (Naib Johan), Nurul Sazwani Incex (Ketiga).

Bridal Makeup Competition 2026
- Johan: Shazwani Amirah Suardi & Irdina Auni Muhamad (Keningau)
- Naib Johan: Azzahra Nisa Gahimun
- Ketiga: Masdiatul Adhawiah Yakob (Kota Kinabalu)

