KOTA KINABALU: 30 April 2026 – Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan kadar bantuan kebajikan bulanan antara RM200 hingga RM350 pada masa ini, manakala sebarang cadangan untuk menaikkan kadar tersebut bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan semasa negeri.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Julitah Majungki, memberikan penjelasan itu untuk menjawab soalan lisan ADUN Inanam, Edna Jessica Majimbun dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua DUN Sabah ke-17 yang berlangsung dari 27 hingga 30 April 2026.
Beliau memaklumkan bahawa kadar sedia ada itu masih dikekalkan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Jelasnnya, bantuan itu di bawah tanggungjawab Persekutuan, kadar bantuan ditentukan melalui pembentangan Bajet oleh Kerajaan Pusat, dan sebarang kenaikan kadar memerlukan penyelarasan di kedua-dua peringkat kerajaan.
“Bantuan ini diberikan berdasarkan kelayakan dan bertujuan membantu penerima mencapai kehidupan yang lebih stabil serta seterusnya berdikari,” jelasnya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyesuaikan kelayakan penerima berdasarkan peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini.
Faktor seperti perubahan pendapatan isi rumah dan kadar per kapita turut diambil kira bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tepat kepada golongan sasar.
Mengulas isu penamatan bantuan, Julitah menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan melalui proses penilaian semula yang telus.
Antara faktor yang menyebabkan penamatan termasuk peningkatan pendapatan penerima, perubahan status, atau kegagalan mengemukakan dokumen untuk semakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Kerajaan negeri juga memastikan ketelusan pengurusan bantuan melalui pelaksanaan garis panduan operasi yang jelas, latihan pegawai kebajikan, pemantauan berkala, serta penggunaan sistem digital.
Untuk penerima yang bantuan mereka ditamatkan tetapi masih memerlukan, mereka boleh mengemukakan permohonan baharu semula, sama ada secara manual di pejabat kebajikan daerah atau melalui platform dalam talian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Kerajaan negeri menegaskan komitmennya untuk terus membantu golongan memerlukan, namun dalam masa yang sama mahu memastikan bantuan kebajikan tidak mewujudkan sikap terlalu bergantung kepada kerajaan. Sebaliknya, ia wajar dijadikan sebagai platform sementara untuk membantu penerima keluar dari kemiskinan secara lebih berdikari dan mampan.
