Oleh: Nurul.N
KENINGAU: Keringat dan air mata 17 pasukan dari seluruh negara terlerai di Kompleks Sukan Keningau selama tiga hari, dari 20 hingga 22 November lalu, dalam Kejohanan Ragbi National KV Seven Series Edisi Khas Borneo 2026.
Di sebalik trofi, kejohanan itu menyaksikan kisah pelajar kolej vokasional yang bangkit dari pelbagai negeri — Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah — untuk bertanding demi sekolah dan keluarga.
Kategori Cup terbuka menyaksikan KV Arau muncul juara selepas menewaskan KV Port Dickson 19-10 dalam aksi final yang mendebarkan. KV Kuala Krai dan KV Chenor masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Bagi pemain KV Arau, Ahmad Alim Ahmad Rizal, gelaran Pemain Terbaik kategori terbuka yang diraihnya menjadi bukti kerja kerasnya sepanjang kejohanan.
Untuk kategori bawah 16 tahun (U16), SMK Keningau muncul juara selepas menewaskan SM Saint Francis Xavier (SFX) 29-0, manakala KV Keningau dan KV Beaufort masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Stanleyshen Jacob dari SMK Keningau pula dipilih sebagai Pemain Terbaik kategori U16 — pencapaian manis buat pelajar yang bertanding di gelanggang sendiri.
Pengarah KV Keningau, Dr. Shamsir Nureddin berkata penganjuran kejohanan itu bukan sekadar menggalakkan penglibatan pelajar dalam sukan, malah membentuk disiplin, daya tahan dan semangat berpasukan.
“Sukan dalam pendidikan vokasional memupuk daya tahan, semangat berpasukan dan disiplin diri yang menyediakan pelajar untuk kerjaya masa depan mereka,” katanya.
Kejohanan anjuran KV Keningau itu menghimpunkan 17 pasukan dari enam negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kejohanan itu sebahagian daripada siri National KV Seven Series yang dikelolakan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) untuk memupuk pembangunan sukan dalam kalangan pelajar kolej vokasional.
