Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 28 Ogos 2026 – Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) muncul juara Pertandingan Sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang menghimpunkan 96 kontinjen dengan kira-kira 10,000 kehadiran.
JPANS menjuarai kategori Kementerian/Jabatan Kerajaan/Swasta/Institusi Pengajian Tinggi, manakala Ikatan Ukhwah Prihatin Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu masing-masing muncul juara untuk kategori Pertubuhan dan Komuniti.
Sementara itu, Pondok Fi Dzilalil Quran muncul johan kategori Sekolah.
Johan setiap kategori menerima wang tunai RM8,000, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.
Anugerah Kontinjen Terbaik, 5 Divisyen muncul pemenang kategori Kementerian/Jabatan Kerajaan/Swasta/Institusi Pengajian Tinggi, manakala Masjid An-Nur Taman Putera Jaya, Telipok untuk kategori Komuniti.
Kedua-duanya menerima RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sambutan tahun ini bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, dengan 75 kontinjen menyertai pertandingan dan 21 kontinjen menyertai perarakan sejauh 2.3 kilometer dari Padang Merdeka ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam majlis sama, Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Datuk Alidin @ Ahmad Othman dan Mantan Pengarah Audit Negeri Sabah, Datuk Patimah Ramuji menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah untuk kategori lelaki dan wanita.
Sumber: JAPEN

