Oleh: Nurul Fazliana Norman
PENAMPANG: 9 Ogos 2026 – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penggerak Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035 untuk memastikan agenda pembangunan dapat diterjemahkan hingga ke peringkat kampung.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama semua pihak khususnya Pengerusi JKKK penting dalam memastikan keperluan pembangunan setiap kampung diberi perhatian.
Katanya, pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di Penampang dalam tempoh lebih tiga tahun, termasuk projek tebatan banjir, pemasangan paip dan penyaluran bekalan air dari Stesen Kampung Madsiang ke SMK Kipouvo.
Antara projek yang telah siap ialah pembinaan Jambatan Timpango Babagon dan Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Kampung Togudon.

“Kita juga merancang untuk memperluaskan Program PANTAS ke beberapa kampung lain, khususnya di kawasan berkecerunan tinggi.
“Selain itu, projek menaik taraf Tamu Donggongon yang sebelum ini tertangguh kini hampir siap dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya tahun ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi JKKK Parlimen Penampang melibatkan DUN Moyog dan Kapayan di Dewan Kampung Pagansakan Inobong, pada Jumaat.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut mengumumkan persetujuan menyalurkan geran pentadbiran RM2,000 kepada setiap badan JKKK di Parlimen Penampang untuk membantu melancarkan urusan pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti kampung.
Selain itu, kerja membaik pulih Dewan Kampung Pagansakan Inobong yang mengalami kerosakan akibat banjir turut diberi perhatian.
“Dengan siapnya kerja-kerja membaik pulih ini, saya berharap lebih ramai penduduk kampung dapat kembali menggunakan dewan ini untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Jelasnya, kejayaan Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035 memerlukan kerjasama menyeluruh antara wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan, kepimpinan JKKK dan masyarakat untuk memastikan pembangunan dilaksanakan berdasarkan keperluan setempat.
Pada majlis itu, seramai 75 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan, masing-masing 60 untuk DUN Moyog dan 15 untuk DUN Kapayan.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah merangkap ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren dan pemimpin setempat.
Sumber: JAPEN

