Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 30 Julai 2026 – Kumpulan muzik penyembahan Kristian bertaraf antarabangsa, Hillsong Worship, bakal mencipta sejarah ketika mengadakan persembahan sulung mereka di Kota Kinabalu menerusi Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 pada 13 September ini di Sabah International Convention Centre (SICC).
Konsert itu merupakan sebahagian daripada jelajah Asia 2026 yang bakal singgah di Kuala Lumpur pada 9 September sebelum diteruskan ke beberapa bandar utama lain termasuk Surabaya, Singapura, Cebu dan Manila.
Persembahan di Kota Kinabalu dijangka menjadi detik bersejarah untuk peminat di Malaysia Timur selepas lebih tiga dekad Hillsong Worship menghasilkan lagu-lagu penyembahan yang digunakan di gereja-gereja di seluruh dunia.
Menurut Hillsong Worship, setiap penganjuran persembahan mereka bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi platform untuk menyatukan masyarakat melalui muzik dan mesej harapan.
“Kami tidak berkumpul sekadar menyanyikan lagu. Kami berkumpul untuk mewujudkan ruang di mana hati terbuka, harapan dipulihkan dan ribuan kisah berbeza bersatu menjadi satu suara,” kata kenyataan Hillsong.
Ditubuhkan di Sydney, Australia, Hillsong Worship dikenali sebagai antara kumpulan muzik penyembahan paling berpengaruh di dunia dengan menghasilkan pelbagai lagu ikonik seperti Shout to the Lord, Mighty to Save, Hosanna dan lagu pemenang Anugerah Grammy, What a Beautiful Name.
Lagu-lagu mereka yang berteraskan ajaran kitab suci dan disampaikan menerusi melodi kontemporari diterjemahkan ke pelbagai bahasa serta dinyanyikan di ribuan gereja di seluruh dunia, sekali gus menjadikan Hillsong Worship antara nama paling berpengaruh dalam muzik penyembahan moden.
Penganjuran konsert di Kota Kinabalu dijangka menarik kehadiran pengunjung dari Brunei, Indonesia, selatan Filipina dan Sarawak memandangkan kedudukan strategik ibu negeri Sabah itu sebagai hab pengangkutan serantau.
Selain menampilkan lagu-lagu popular yang menjadi siulan peminat, persembahan berkenaan menggabungkan produksi visual bertaraf antarabangsa dengan segmen akustik yang lebih intim untuk memberikan pengalaman penyembahan yang lebih bermakna kepada penonton.
Mengulas pengalaman yang ingin dibawakan kepada para hadirin, Hillsong Worship berkata detik paling bermakna bukan terletak pada persembahan pentas semata-mata, sebaliknya semangat kebersamaan yang terhasil melalui muzik.
“Apabila muzik berhenti menjadi tumpuan, yang tinggal hanyalah ribuan orang asing menyanyikan lirik yang sama dan merasai denyut harapan yang sama,” kata Hillsong.
Konsert Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 di Malaysia dianjurkan oleh Star Planet, manakala tiket kini boleh didapati menerusi platform my.book.myshow.com.

