Henry Saimpon Cadang Wujud Liga Sabah atau Hidupkan Semula Piala Borneo

photo 2025 09 24 17 12 51

KOTA KINABALU: 24 September 2025 – Bekas pemain negeri, Henry Saimpon mencadangkan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mewujudkan Liga Bola Sepak Sabah atau menghidupkan kembali Piala Borneo sebagai usaha memeriahkan arena bola sepak negeri itu serta mencungkil lebih ramai bakat tempatan.

Henry yang juga Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkata, langkah itu dapat memberi peluang kedua kepada pemain Sabah FC yang disisihkan untuk meneruskan karier bola sepak mereka.

Menurutnya, selepas pasukan Sabah menjalani rombakan besar-besaran, ramai pemain yang pernah membantu menjuarai Liga Perdana 2019 terpaksa beralih ke pasukan lain, malah ada yang terhenti langkah dalam saingan Liga Malaysia.

Beliau menyatakan cadangan itu selepas merasmikan karnival bola sepak 11 sebelah kategori veteran di Padang Pekan Tamparuli pada Ahad yang turut dihadiri oleh Ketua Penyelaras KDM Pantai Dalit Gundohing Jaesman Gipin, Naib Ketua KDM Kiulu Gundohing Joluin Jairuh, Jasini Yukin serta Ketua PDM Pukak John Vest.

Henry menegaskan, jika Piala Borneo dihidupkan semula, ia boleh melibatkan pasukan dari Sarawak, Brunei dan Kalimantan selain Sabah, sekali gus menghidupkan semula persaingan bola sepak di Borneo tanpa menyaingi Liga Malaysia.

Beliau berkata, cadangan itu mungkin besar tetapi berpotensi dilaksanakan jika ada perancangan teliti, malah mampu menarik lebih ramai bakat baharu dalam bola sepak.

Piala Borneo diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua dan secara rasmi dipertandingkan pada 1962 dengan penyertaan North Borneo, Sarawak dan Brunei.

Henry, yang juga pernah menjadi pengurus pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana 2019, menyatakan kesediaan menyediakan kertas kerja untuk mewujudkan Liga Sabah atau menghidupkan semula Piala Borneo.

Beliau berharap jika kejohanan itu menjadi kenyataan, ia dapat dikekalkan sebagai tradisi tahunan anjuran SAFA.

Katanya, ramai pemain tempatan yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama Sabah FC berpeluang menyerlah melalui kejohanan ini, selain memberi ruang kepada jurulatih bertauliah tempatan menguji kemampuan masing-masing.

Tambahnya, Sabah memerlukan lebih banyak liga atau kejohanan seperti yang terdapat di Semenanjung kerana ia penting untuk pembangunan bola sepak negeri.

Sumber: Kupi-kupi Fm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal