KOTA KINABALU: 15 September 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, dalam kenyataannya kelmarin menggesa semua pemimpin politik lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, terutamanya yang menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.
Beliau berkata teguran itu berikutan penelitiannya terhadap ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya perkara yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan Alkitab.
Menurut Arthur, ucapan berkenaan amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempermainkan agama atau kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai.
Beliau berkata Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru amat mengecewakan sekiranya agama masih dijadikan bahan jenaka politik selepas lebih enam dekad negara membangun sebagai sebuah masyarakat majmuk.
Arthur turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara hadir bersama tanggungjawab, manakala isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
Menurutnya, Perlembagaan dan undang-undang negara perlu dihormati demi memelihara ketenteraman awam, keharmonian dan hubungan antara masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka tanpa alasan atau berselindung, khususnya kepada rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dan terluka dengan ucapan tersebut.
Tegasnya, BN berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum dan agama.
Beliau menyeru semua pemimpin politik mengelakkan politik yang membakar sentimen, sebaliknya mengutamakan kepimpinan yang mampu menyatukan masyarakat.

