Harga petrol, diesel kekal 9-15 Julai

WhatsApp Image 2026 07 10 at 9.02.46 AM

Gambar ilustrasi sahaja

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PUTRAJAYA: 10 Julai 2026 – Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol dan diesel untuk tempoh 9 hingga 15 Julai 2026 susulan perkembangan harga minyak mentah dunia yang terus menunjukkan trend penyederhanaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit tanpa subsidi dalam tempoh berkenaan dikekalkan pada RM4.00 seliter bagi RON97, RM3.37 seliter bagi RON95 dan RM3.97 seliter untuk diesel.

Menurut kementerian itu, penyederhanaan harga minyak mentah global didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan negara pengeluar utama.

Bagaimanapun, MOF berkata perkembangan terkini di Asia Barat, termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran, menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan petroleum masih wujud selagi konflik belum diselesaikan.

Dalam jangka sederhana, lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga, namun sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara.

Sehubungan itu, kerajaan mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu untuk membantu memastikan bekalan negara kekal mencukupi dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Sementara itu, harga bahan api bersubsidi turut dikekalkan, iaitu RON95 di bawah program BUDI MADANI pada RM1.99 seliter, diesel BUDI MADANI RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Kerajaan turut menegaskan pendekatan berhemah akan terus dilaksanakan untuk melindungi rakyat dari kesan turun naik harga petroleum di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Sumber: Kementerian Kewangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal