KOTA KINABALU: 15 Mei 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh usaha memperkasakan kesejahteraan komuniti menerusi program GreenSteps: Journey to a Healthier Life yang dianjurkan di Rumah Anak Yatim (RAY), Tambunan baru-baru ini.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental, amalan gaya hidup sihat dan kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan remaja.
Ia dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPSK) UMS melalui pendekatan Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) bagi membolehkan mahasiswa mengaplikasikan ilmu dan kemahiran secara langsung, sekali gus memupuk nilai keprihatinan, empati serta kesedaran sosial yang tinggi.
Penyelaras program, Profesor Madya Dr Getrude Cosmas berkata inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI Sabah), U-Science UMS serta Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS.

“Program ini dianjurkan oleh pelajar Program Pembangunan Belia dan Komuniti bersama Program Psikologi Industri dan Organisasi sebagai sebahagian daripada pelaksanaan SULAM menerusi kursus PB30803: Sikap dan Perubahan Sikap,” katanya.
Menurut beliau, antara pengisian utama program ialah sesi ceramah dan demonstrasi pertolongan cemas yang dikendalikan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Keningau yang diketuai Albinus Gimbang.
Seramai 64 peserta terdiri daripada pelajar Tahun Enam hingga Tingkatan Lima menyertai program yang menampilkan pelbagai aktiviti berstruktur bagi memupuk sikap positif terhadap penjagaan kesihatan diri, kesejahteraan emosi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pengarah Program, Ivy Lilysha Eh Hoon berkata pendekatan santai dan interaktif yang diterapkan sepanjang program berjaya menarik minat peserta untuk memahami kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental.

Peserta turut mengikuti ceramah psikologi bertajuk “Emosi Itu Normal: Jom Kenali Perasaan Kita” yang disampaikan pensyarah UMS, Dr. Norafifah Bali, memberi pendedahan mengenai pengurusan emosi, tekanan dan pembinaan keyakinan diri.
Aktiviti hijau seperti kitar semula dan berkebun turut diadakan untuk membudayakan amalan lestari dalam kalangan generasi muda dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
