KENINGAU: Di pentas akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026, namanya diumumkan sebagai Naib Johan. Sorakan bergema, tepukan bergulung seperti ombak, dan senyuman terukir di wajah para penyokong.
Namun di sebalik pencapaian membanggakan itu, tersimpan sebuah perjalanan yang hanya segelintir insan mengetahui kisah sebenarnya.
Bryan Niccolson Jacob, atau lebih mesra disapa sebagai Ayon dan Bayon, anak sulung dari lima beradik dari Kampung Magatang, Keningau ini mengaku dirinya seorang introvert sejati – tidak pernah membesar dengan impian untuk berada di pentas pertandingan kebudayaan.
Pada usia 22 tahun, dia sedang mengejar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Bahasa Kadazandusun di UNIRAZAK.
Sebagai satu-satunya anak lelaki, bahunya memikul amanah besar menjadi contoh kepada empat adik perempuannya. Ibunya seorang guru, manakala bapanya bekerja sendiri di kampung.
Penyertaannya dalam RTK tidak dirancang berbulan-bulan dan ideanya muncul hanya dalam masa seminggu sebelum sesi uji bakat RTK DBKK pada 2025 – satu sudut yang agak menarik, berbeza dengan peserta lain yang sudah lama mempersiapkan diri.
“Bila difikirkan balik, saya sendiri tidak sangka keputusan yang dibuat dalam masa singkat itu akhirnya membawa saya sehingga ke pentas akhir RTK 2026,” katanya, masih dalam nada tidak percaya.
Baginya, RTK bukan sekadar pertandingan ketampanan atau populariti. Ia adalah pintu untuk mendalami budaya, bahasa dan identiti Kadazandusun yang mengalir dalam darahnya.
Keinginan memahami warisan sendiri menjadi api yang mendorongnya keluar dari zon selesa, walaupun rasa malu dan sifat pendiam selama ini menjadi perisainya.
Sepanjang perjalanan, cabaran paling pahit ialah mengimbangi tuntutan akademik dan persiapan pertandingan. Sebagai pelajar universiti, masa adalah emas. Namun dia tidak pernah mengalah.
Persiapan sebenar bermula sejak tahun sebelumnya. Bryan mencuri setiap detik lapang untuk menonton siaran RTK tahun-tahun lalu, mempelajari cara peserta menjawab soalan dengan yakin dan berkesan. Sesi soal jawab yang sering menjadi penentu kemenangan, menjadi tumpuan utamanya.
Dia mengakui banyak waktu belajar dan perbelanjaan peribadi terpaksa dikorbankan, namun setiap pengorbanan, katanya, mempunyai nilai tersendiri.
Salah satu pengalaman paling bermakna ialah perkampungan RTK.
“Pertama kali saya rasa penat sampai begitu sekali. Tetapi pada masa yang sama, itulah pengalaman yang paling menyeronokkan,” katanya tersenyum.
Keletihan fizikal menjadi teman setia sepanjang program, namun itulah yang paling menggembirakan hatinya.
Hari terakhir perkampungan menjadi detik paling emosional. Hubungan antara peserta telah berkembang menjadi seperti sebuah keluarga besar, dan perpisahan pada penghujung program meninggalkan rasa sedih yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Apa yang paling mengejutkan dirinya ialah kemampuannya untuk bertahan dalam keadaan yang tidak pernah dialami, keletihan, jadual padat, dan pelbagai tugasan.
Semuanya secara tidak langsung mengajarnya tentang kekuatan diri yang selama ini tersembunyi.
Dalam kalangan peserta, suasana yang terjalin jauh dari persaingan, mereka lebih seperti adik-beradik yang saling menyokong dan membantu.
Ketika ditanya mengenai detik paling mendebarkan, jawapannya cukup menghiburkan.
Saat berdiri di pentas akhir menunggu keputusan, perkara yang bermain di fikirannya hanyalah satu, “Mahu tidur,” katanya sambil ketawa.

Namun sebaik namanya diumumkan sebagai Naib Johan, segala keletihan yang dirasai seakan hilang serta-merta.
Perasaan syukur mengatasi segala-galanya. Reaksi pertamanya adalah membuat tanda salib tanda penghargaan kepada Tuhan atas perjalanan yang telah dilalui.
Orang pertama yang ingin dikongsikan kegembiraan itu sudah tentu ibu dan bapanya. Kerana bagi Bryan, kejayaan ini bukan miliknya seorang; ia lahir dari doa, sokongan dan pengorbanan dua insan yang sentiasa berada di belakangnya.
Kata-kata ibu bapanya selepas pertandingan menjadi momen paling menyentuh hati, mereka hanya mengucapkan tahniah dan mengatakan bahawa Bryan telah memberikan yang terbaik.
Kerana hanya mereka yang benar-benar tahu sejauh mana usaha dan pengorbanan yang ditumpahkan sepanjang persiapan.
Hari ini, kehidupan Bryan berubah dengan ketara. Jumlah pengikut media sosial meningkat, jadual semakin padat, dan semakin ramai mengenalinya.
Namun di sebalik populariti itu, dia tetap melihat gelaran Naib Johan RTK 2026 sebagai satu amanah yang besar.
Dia mahu terus membawa nama baik RTK dan menggunakan platform yang ada untuk memperkenalkan budaya dan bahasa ibunda kepada generasi muda.
Bagi Bryan, bahasa adalah identiti yang tidak boleh dipisahkan dari sesuatu bangsa. Jika generasi muda tidak lagi mempelajari atau menggunakan bahasa ibunda, sedikit demi sedikit warisan tersebut akan hilang ditelan zaman.
Sekiranya diberi peluang menjadi duta budaya Sabah suatu hari nanti, mesej yang ingin dibawanya cukup jelas: “Atagak boros, atagak tinaru.”
Dia mahu melihat lebih ramai anak muda mempelajari, menggunakan dan mempertahankan bahasa ibunda masing-masing sebagai tanda kebanggaan terhadap identiti sendiri.
Menariknya, di sebalik segala pencapaian, Bryan masih menganggap dirinya seorang introvert yang sedang belajar menjadi lebih berani.
Jika diberi peluang berbicara dengan dirinya lima tahun lalu, nasihatnya sederhana tetapi penuh makna: berani keluar dari zon selesa, berani mencuba perkara baharu, dan berani mengejar impian.
Perjalanan Bryan belum berakhir. Impian terbesarnya selepas ini bukanlah gelaran atau pengiktirafan yang lebih besar – sebaliknya, dia hanya mahu membanggakan kedua ibu bapanya, dan suatu hari nanti mampu membalas segala pengorbanan yang telah dicurahkan.
Mungkin itulah makna sebenar kejayaan bagi seorang anak kampung dari Magatang yang berani melangkah keluar dari bayang-bayang sifat malunya.
Bukan sekadar berdiri di atas pentas, tetapi membuktikan bahawa keberanian untuk mencuba mampu membawa seseorang lebih jauh daripada apa yang pernah dibayangkan.
