SANDAKAN: 30 September 2025 — Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi dalam satu operasi bersepadu di daerah Sandakan dan Semporna pada malam 29 September lalu.
Dalam operasi bermula sekitar jam 8 malam itu, polis menahan dua lelaki tempatan bersama sebuah lori tangki, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dua skid tank di Jalan Cecily Sibuga, Sandakan.
Mereka dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Di Semporna pula, seorang warga asing ditahan ketika cuba menyeludup minyak petrol melalui kawasan laut Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau.

Hasil rampasan melibatkan sebanyak 5,400 liter minyak diesel dan 51 jerekin berisi minyak petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM482,672.25.
Semua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri bin Ibrahim, berkata pihaknya akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
PPM turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat dengan menyalurkan maklumat bagi membendung aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang.
Sumber: Kenyataan Media
