KOTA KINABALU: 12 Oktober 2026 — Padah melakukan kecurian elektrik dan mengusik meter, enam individu dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM14,800 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan dan Kota Kinabalu 8 dan 9 oktober lalu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Energy Commission of Sabah (ECoS), Ir. Ts. Ridwan Saham, tindakan tegas itu melibatkan empat kes sambungan haram di penempatan setinggan dan dua kes usikan pepasangan meter (KUPM) domestik di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Kesalahan tersebut memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” jelas Ridwan.
Untuk kes sambungan haram di setinggan Sandakan, Hasmanisa Hari Pudin dan Mohd Noor Abdu Rasad masing-masing didenda RM2,500, manakala Amirah Latif didenda RM1,000.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Mardiana Asiri dikenakan denda RM1,800 atas kesalahan serupa di hadapan Hakim Puan Marlina Ibrahim.
Untuk kes usikan meter di Sandakan, Liew Vun Leong didenda RM6,000 atau empat bulan penjara, manakala Chak Lee Tat didenda RM1,000 atau sebulan penjara selepas mengaku bersalah. Kesemua mereka dilaporkan telah menjelaskan bayaran denda tersebut.
Menurut Ridwan, kesemua kes itu dikesan menerusi operasi bersepadu ECoS bersama Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Pemeriksaan menemukan premis kediaman yang menerima bekalan elektrik secara terus dari talian utama tanpa melalui meter yang sah, menyebabkan penggunaan elektrik tidak direkodkan sama sekali dan mengakibatkan kerugian kepada pihak pembekal iaitu SE,” katanya.
Beliau menambah, kes KUPM membabitkan pengguna berdaftar yang membuat pengubahsuaian pendawaian atau komponen meter untuk merendahkan bacaan penggunaan sebenar.
“Tindakan penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen berterusan ECoS untuk membanteras kes kecurian elektrik yang merupakan suatu kesalahan jenayah. ECoS akan meneruskan tindakan penguatkuasaan demi memastikan pematuhan terhadap undang-undang di samping melindungi kepentingan pengguna di Sabah,” tegas beliau.
Sumber: Energy Commission of Sabah (ECoS)

