Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
SHAH ALAM: 8 September 2026 — Atlet lompat jauh T20 Sabah, Eljoe Gotuoh, meraih pingat emas Para SUKMA buat kali ketiga berturut-turut selepas memenangi acara Lompat Jauh Lelaki T20 di Stadium UiTM Shah Alam.
Eljoe mencatat lompatan terbaik 7.06 meter pada percubaan keenamnya untuk mengesahkan pingat emas untuk Sabah.
Atlet itu memulakan kempennya dengan lompatan 6.56m, diikuti 6.95m pada percubaan kedua. Lompatan ketiganya mencecah 7.04m.
Pada percubaan keempat, Eljoe mencatat 6.73m, manakala lompatan kelimanya dibatalkan.
Lompatan terakhirnya 7.06m memastikan Eljoe kekal di kedudukan pertama.
Wakil Terengganu, Muhammad Aiman Ajwad bin Ali, meraih pingat perak dengan lompatan 6.70m, manakala Muhammad Haikal bin Mohd Khir dari Johor meraih gangsa dengan 6.62m.
Wakil Sabah yang lain, Roel Maccyilson Roland, menduduki tempat ketujuh dengan lompatan terbaik 6.33m.
Kemenangan ini melengkapkan tiga pingat emas berturut-turut Eljoe di pentas Para SUKMA.
Sebelum ini, Eljoe pernah memenangi emas di Kejohanan Dunia Virtus 2025 dengan lompatan 7.01m.
Pencapaian 7.06m di Selangor sekali lagi menyaksikan Eljoe melepasi tanda tujuh meter, sekaligus menambah satu lagi emas kepada koleksi Sabah.
Sumber: Majlis Sukan Negara Malaysia

