Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KUCHING: 23 September 2026 – Cubaan dua warga asing melarikan diri dari pemeriksaan imigresen dengan bersembunyi dalam longkang gagal setelah dikesan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Selera dan Ops Kutip di sekitar Kuching pada 21 September lalu.
Operasi berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan pemeriksaan dijalankan di tujuh lokasi sekitar Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10, Kota Sentosa.

Pemeriksaan membabitkan premis kedai makan yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Seramai 48 orang diperiksa sepanjang operasi itu, manakala 43 orang ditahan untuk tindakan lanjut. Satu saman saksi turut dikeluarkan.

Dua warga asing terbabit cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan sebelum memilih longkang sebagai tempat persembunyian.
Operasi dilaksanakan berdasarkan maklumat aduan orang awam, hasil risikan JIM Kuching.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sebelum dibawa untuk tindakan lanjut.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak

