Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 7 Oktober 2026 – Petrova terus mengungguli carta Borneo Rising pada minggu kelima yang berlangsung Ahad lalu, selepas meraih markah keseluruhan 63.96 peratus menerusi persembahan lagu Rayuan Perempuan Gila nyanyian asal Nadin Amizah.
Petrova diikuti Havard di tempat kedua dengan 61.39 peratus, manakala Harris menduduki tempat ketiga dengan 59.99 peratus.
Dabra pula berada di tempat keempat dengan 59.77 peratus, diikuti Joy (58.55 peratus) dan Afiq (53.91 peratus) untuk melengkapkan enam peserta teratas.
Minggu kelima bertemakan Power Plot Twist turut menyaksikan Jecinta meninggalkan pentas Borneo Rising selepas menduduki tempat kesembilan dengan markah 47.94 peratus menerusi lagu Payung Teduh.
Syukri dan Faris masing-masing berada di kedudukan kelapan dan ketujuh dengan markah 48.05 peratus dan 50.63 peratus.
Sementara itu, Dabra turut mencuri perhatian menerusi persembahan lagu Rahsia Tuhan nyanyian Noh Salleh.

Dabra dipilih sebagai penerima wang tunai RM2,000 menerusi anugerah Persembahan Paling Power sumbangan CelcomDigi pada segmen terakhir.

Borneo Rising menampilkan Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah sebagai juri, selain Bella Astillah sebagai juri jemputan, manakala Zizan Razak dan Sherry Alhadad menggalas tugas sebagai hos.
Borneo Rising bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104), TV Okey (Saluran 146), On Demand, Astro GO, Sooka dan RTMKlik.

