KOTA BELUD: 17 September 2026 – Dua jambatan konkrit bernilai RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Kampung Melangkap, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, siap sepenuhnya.
ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, berkata kedua-dua jambatan itu akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kemudahan tersebut akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.
Jambatan Konkrit Kaung sepanjang 100 meter membabitkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung untuk laluan anak sungai, bermula pada Ogos 2024.
Sementara itu, Jambatan Konkrit Melangkap sepanjang 50 meter membabitkan kos kira-kira RM9 juta, yang dimulakan pada Februari 2025 dan siap pada Ogos lalu.
Ewon berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau jambatan tersebut bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), JKR Sabah dan syarikat pelaksana kerana memastikan projek berkenaan disiapkan sepenuhnya.

