KOTA KINABALU: 8 Mei 2026 – Dua beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff sasar impian harumkan nama Sabah dan Malaysia dalam sukan golf selepas muncul juara Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah 2026 di Nexus Karambunai Golf Resort pada Khamis lalu.
Khayr Akhtar, 15, menjuarai kategori bawah 15 tahun dengan kelebihan enam pukulan selepas 36 lubang, manakala adiknya Muhammad Yahya, 12, mengungguli kategori bawah 12 tahun dengan kelebihan 12 pukulan.

Pelajar tingkatan tiga Maktab Sabah itu berkata, minat mereka terhadap golf bermula sejak kecil hasil dorongan bapa dan keluarga.
Menurutnya, pemain golf dunia Rory McIlroy dan pemain profesional negara Gavin Green menjadi antara idolanya dalam sukan itu.
“Saya meminati cara pukulan dan gaya putting Rory McIlroy yang berbeza dengan pemain lain.
“Saya juga selalu menonton permainan golfer negara seperti Gavin Green dan meminati skil permainan beliau,” katanya ketika ditemui.
Khayr berkata, selain menjalani latihan di padang golf dan driving range, mereka turut sering menonton siaran golf bersama bapa mereka sehingga menambah minat untuk mendalami sukan berkenaan.

“Sehubungan itu, kami berharap dapat mengharumkan nama Sabah dan negara dalam sukan golf,” katanya.
Menurutnya, dia mula bermain golf sejak berusia 11 tahun dan kini giat menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih, Helmie Yusof dan Fraser Pook.
