Aplikasi Jawi ciptaan guru dari Paitan raih dua emas di Jakarta

Screenshot 20260610 084440 Gallery

BELURAN: 10 Jun 2026 – Inovasi pendidikan PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) hasil ciptaan seorang guru dari kawasan pedalaman Paitan, Beluran berjaya mengharumkan nama negara setelah merangkul dua Anugerah Emas dalam pertandingan inovasi antarabangsa yang berlangsung di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia, dari 3 hingga 6 Jun lalu.

1003142058

Inovasi yang dibangunkan oleh Lorenica Frenila Masundim itu menerima pengiktirafan emas dalam dua pertandingan berprestij iaitu International Invention & Innovation Competition (I³C 2026) dan Innovation World Cup (IWC 2026), yang menghimpunkan penyelidik, pendidik dan pencipta inovasi dari pelbagai negara.

PASCA-ج dibangunkan bagi membantu pengguna yang baharu mempelajari tulisan Jawi menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan lebih cepat menerusi kaedah transliterasi yang sistematik dan mudah digunakan. Inovasi itu turut menggabungkan unsur warisan budaya dan teknologi digital melalui aplikasi interaktif yang boleh diakses menggunakan telefon pintar serta komputer.

Menurut Lorenica, idea menghasilkan PASCA-ج tercetus daripada pengalaman peribadinya sendiri ketika berdepan kesukaran membaca tulisan Jawi, selain mahu membantu murid-murid yang menghadapi cabaran sama dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

1003142061

“Anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap inovasi PASCA-ج, tetapi juga bukti bahawa warisan tulisan Jawi masih relevan dan boleh dipelihara melalui penggunaan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi tersebut telah melalui beberapa fasa penambahbaikan bermula dari versi 1.0 sehingga versi 5.0 yang kini dilengkapi pelbagai ciri termasuk transliterasi Rumi-Jawi dan Jawi-Rumi, latihan interaktif, kuiz, penjanaan sijil automatik dan panduan pembelajaran yang lebih mesra pengguna.

Kejayaan itu turut membuktikan usaha memartabatkan tulisan Jawi mampu diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama apabila disampaikan menerusi pendekatan yang inklusif dan berasaskan teknologi.

Sebagai langkah seterusnya, PASCA-ج akan menjalani proses pengesahan oleh pakar sebelum diperluaskan kepada masyarakat melalui platform digital seperti Google Play Store dan Apple App Store.

Pencapaian dua Anugerah Emas di pentas antarabangsa itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan tulisan Jawi, selain memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang berjaya menggabungkan warisan budaya dengan inovasi teknologi pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal