Dorongan ibu jadi kekuatan saya hingga ke pentas Sugandoi Negeri – Earl

f5374515 e252 4c0c b92e 7426a269b39f

KOTA KINABALU: 22 Mei 2026 – Siapa sangka keputusan yang pada awalnya dibuat dengan rasa ragu-ragu kini membuka lembaran baharu untuk anak muda berasal dari Tuaran, Earl Isaac Mitzler, 18, yang bakal menggalas tanggungjawab besar mewakili Karambunai ke pertandingan akhir Sugandoi peringkat negeri sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026 di KDCA.

Menurut Earl, perjalanan ke pentas Sugandoi bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal. Malah, dia mengakui pernah menolak untuk menyertai sesi uji bakat kerana merasakan dirinya belum cukup bersedia untuk tampil bersaing.

Namun, di sebalik keraguan itu, ibunya terus menjadi individu yang tidak pernah berhenti memberi dorongan. Apa yang pada mulanya dianggap sekadar cubaan akhirnya menjadi titik perubahan yang membuka peluang lebih untuk dirinya.

a125bbbb 90c1 4c21 87f3 f545e3a59d32

“Bila mama saya ajak lagi untuk audition Karambunai, saya pun pelan-pelan buka hati. Masa hari audition tu saya tak letak harapan tinggi langsung, sampai saya pergi pakai selipar saja,” katanya sambil ketawa mengimbau pengalaman pertamanya.

Earl melihat peluang untuk berdiri di pentas negeri bukan sekadar kejayaan peribadi, melainkan satu amanah besar untuk membawa nama Karambunai dan membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Kini, tumpuannya terarah kepada pertandingan akhir Sugandoi peringkat negeri. Di sebalik usianya yang masih muda, dia memikul harapan keluarga dan masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanannya.

“Saya mahu memberikan yang terbaik dan tidak mahu mensia-siakan peluang ini. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa nama Karambunai,” ujarnya

Di sebalik kejayaannya, sokongan keluarga menjadi tulang belakang utama perjalanan Earl. Ibu, bapa, nenek dan mak ciknya memainkan peranan penting dalam menyediakan segala keperluan termasuk pakaian, latihan vokal dan pengangkutan dari Tuaran ke Penampang.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada pengurusnya, Dicollyn Bobby, yang banyak membantu dalam urusan penyertaan pertandingan.

da38b21c ee03 4f10 bbc9 716e65de464f

Selain dunia nyanyian, Earl juga seorang atlet berbakat dalam acara lontar peluru. Dia pernah mewakili Sabah ke MSSM selama empat tahun berturut-turut dan mendominasi acara tersebut sebagai juara sepanjang tempoh itu.

Walaupun sudah bergelar juara Karambunai, Earl tidak mahu berhenti di situ. Dia menyasarkan pencapaian lebih tinggi di peringkat negeri.

“Sejujurnya saya sudah cukup bangga sampai top 12 pun, tapi bila sudah sampai sini, saya mahu cuba capai top 3 terbaik kalau ada rezeki,” katanya penuh harapan.

Perjalanan Earl membuktikan bahawa kadang-kadang langkah paling tidak yakin boleh membawa seseorang jauh lebih tinggi daripada yang dijangka. Seorang pemuda yang hadir ke uji bakat dengan selipar, kini berdiri sebagai juara yang membawa harapan Karambunai ke pentas negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal