Seramai 40 peserta dari empat negara menyertai perbincangan dalam talian bagi mendalami kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak khas Sabah dan Sarawak.
TENOM — Sebanyak 40 peserta dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Sepanyol menyertai Diplobate MA63 Dialogue yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu, untuk meningkatkan kefahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam hubungan Persekutuan.
Dialog anjuran Diplobate International itu menampilkan penganalisis politik dan pakar Asia Tenggara, Prof. James Chin, yang berkongsi pandangan mengenai kedudukan MA63 sebagai asas pembentukan Malaysia, tuntutan hasil 40 peratus Sabah dan kepentingan memastikan suara Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian.
Prof. James Chin menegaskan bahawa MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan asas perlembagaan yang masih relevan dalam menentukan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, isu tuntutan hasil 40 peratus bukan soal ihsan Kerajaan Persekutuan, tetapi berkaitan tanggungjawab perlembagaan dan semangat asal pembentukan Malaysia.
“Putrajaya must learn to listen to voices of Sarawak and Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan belia perlu memainkan peranan dalam membentuk kesedaran masyarakat mengenai isu-isu perlembagaan dan tidak menyerahkan sepenuhnya perbincangan berkaitan MA63 kepada pemimpin politik.
Sementara itu, Presiden Diplobate International, Ryan Yong berkata, dialog berkenaan bertujuan memberi kefahaman kepada pelajar Tingkatan Enam mengenai hak Sabah di bawah MA63 di luar pembelajaran di bilik darjah.
Katanya, program itu turut membuka ruang kepada peserta dari Semenanjung Malaysia dan luar negara untuk memahami kedudukan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963, di samping memperkenalkan Sabah kepada masyarakat antarabangsa.
Dialog yang berlangsung menerusi platform Zoom itu turut dihadiri Tindarama Datuk Joanna Kitingan sebagai tetamu kehormat.
Sepanjang sesi tersebut, peserta didedahkan kepada kepentingan MA63 sebagai asas perlembagaan negara, hak-hak khas Sabah dan Sarawak, kepentingan pembahagian hasil yang adil dan peranan generasi muda dalam memperkukuh kefahaman terhadap isu-isu kenegaraan.
Dialog itu mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan belia terhadap isu-isu perlembagaan yang menyentuh hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan.

