PENAMPANG: 30 Mei 2026 – Suku Sinabu dari Tongod buat pertama kalinya menyertai pameran budaya sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, sekali gus membuka ruang memperkenalkan warisan dan identiti etnik tersebut kepada masyarakat umum.
Ketua komuniti Sinabu, Johanis Mualas, berkata penyertaan itu amat bermakna kerana memberi peluang kepada masyarakat luar mengenali adat, budaya dan sejarah suku berkenaan yang masih kurang diketahui ramai.
Suku Sinabu merupakan salah satu etnik dalam rumpun Sungai yang mempunyai pengaruh budaya Dusun dan Paitanik, dengan majoriti penduduknya menetap di daerah Tongod.
“Jumlah populasi Sinabu di Tongod dianggarkan sekitar 5,000 orang sahaja. Walaupun bilangannya tidak ramai, kami masih berusaha memelihara identiti budaya yang diwarisi turun-temurun,” katanya.
Menurut Johanis, pakaian tradisi Sinabu lazimnya menggunakan kombinasi warna merah dan hitam yang menjadi identiti utama masyarakat tersebut.
Beliau menjelaskan, penyertaan dalam pameran itu adalah yang pertama selepas persatuan atau jawatankuasa berkaitan diaktifkan semula pada tahun ini.

“Apabila menerima jemputan untuk menyertai pameran ini, kami berasa sedikit cemas kerana masih membuat persiapan dalam tempoh yang singkat. Namun, kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menampilkan budaya Sinabu kepada orang ramai,” katanya.
Antara aktiviti menarik yang akan dibawakan adalah pameran pakaian tradisional, alat muzik, peralatan menangkap ikan, peralatan pertanian dan pelbagai artifak yang menggambarkan kehidupan tradisional masyarakat Sinabu.
Pameran yang berlangsung pada 30 hingga 31 Mei itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian etnik di Sabah demi membantu memelihara warisan budaya suku Sinabu untuk generasi akan datang.
