KOTA KINABALU: 5 Oktober 2025 – Bagi Christine Joan Charles, 28, perjalanan menuju pentas Miss Native Borneo 2025 bukan sekadar sebuah pertandingan kecantikan, tetapi satu misi untuk mengangkat martabat budaya dan membuktikan bahawa kecerdikan, keanggunan serta jati diri mampu berjalan seiring.
Anak kelahiran Papar ini bukanlah wajah baharu dalam dunia ratu etnik. Pernah tiga kali menyertai Unduk Ngadau dan meraih kemenangan dalam setiap penyertaannya, Christine menjadikan pengalaman itu sebagai landasan untuk terus memperjuangkan nilai warisan Kadazan Tatana dalam konteks wanita moden masa kini.
“Miss Native Borneo memberi ruang kepada wanita untuk menonjolkan warisan sambil meraikan identiti moden. Saya amat mengagumi visi itu, dan ia menjadi sebab utama saya menyertai pertandingan ini,” katanya.
Christine turut menghargai pengurusnya, Musz, serta rakan-rakan yang menjadi pendorong utama dalam perjalanan kali ini.
Selain aktif dalam dunia ratu, Christine juga turut menghimbau pengalamannya sebagai guru selama enam tahun, bahawa dunia pendidikan dan dunia kecantikan tidak pernah bercanggah, sebaliknya saling melengkapi.
“Peranan guru telah mengajar saya tentang disiplin dan pengurusan masa. Setiap hari, saya berdepan dengan pelajar yang datang dengan semangat dan idea baharu. Dari sana, saya belajar bahawa kreativiti bukan hanya seni, tetapi cara berfikir yang membentuk keperibadian seseorang,” jelasnya.
Christine percaya bahawa bilik darjah adalah ruang untuk setiap pelajar digilap menjadi individu yang yakin, berani dan berfikiran kreatif.
Falsafah itulah yang turut dibawanya ke dunia ratu, bahawa kecantikan sebenar lahir dari ilmu, empati, dan keikhlasan dalam memberi.
Dengan pasukan yang komited dan komunikasi yang baik, Christine melangkah penuh keyakinan ke pentas Miss Native Borneo 2025, membawa visi untuk memperlihatkan bagaimana seorang wanita Kadazan Tatana moden mampu mempertahankan nilai tradisi sambil terus maju ke hadapan.
Bagi Christine, mahkota yang paling bermakna bukanlah mahkota yang berkilauan di kepala, tetapi yang tersimpan di hati, iaitu simbol keteguhan seorang wanita yang mendidik, menginspirasi dan menjaga warisan bangsanya agar terus hidup dalam jiwa generasi seterusnya.