Chester Pang kekal terajui KREATIF Sabah untuk penggal 2026-2028

Gambar Chester Pang Pengerusi KREATIF Sabah

KOTA KINABALU: 19 Julai 2026 – Chester Pang Thien Fook dipilih semula sebagai Pengerusi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF Sabah) untuk sesi 2026-2028, berikutan Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan itu yang berlangsung di sebuah hotel di Inanam, semalam.

Dalam ucapannya selepas keputusan itu, Chester merakamkan penghargaan kepada semua presiden dan pengerusi persatuan ahli atas kepercayaan berterusan yang diberikan kepadanya.

“Saya amat bersyukur kerana akhirnya sebuah gabungan yang menghimpunkan persatuan-persatuan seni kreatif di Sabah berjaya diwujudkan. Sejak sekian lama, kita mengimpikan sebuah platform yang dapat menyatukan semua persatuan seni kreatif sebagai pemegang taruh industri untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam merangka dan memperkukuh dasar pembangunan industri kreatif negeri,” katanya.

Gambar Chester Pang dan Roger Chin bersama ahli pertubuhan
Chester (Kiri) dan Roger (dua dari kiri) bersama dengan rakan industri media kreatif yang hadir.

KREATIF Sabah menerima kelulusan pendaftaran dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 April lalu dan kini menghimpunkan lapan persatuan yang mewakili sektor filem, muzik, seni persembahan serta seni visual di Sabah.

Chester menyatakan bahawa keutamaan utama KREATIF Sabah untuk penggal baharu ini adalah memperkukuh struktur organisasi, merangka pelan tindakan bersama barisan Ahli Jawatankuasa baharu serta memperluaskan kerjasama strategik dengan kerajaan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, KREATIF Sabah merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah pada awal Ogos ini, sebelum meneruskan siri pertemuan dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk membentangkan perkembangan semasa industri kreatif di Sabah.

Gabungan itu juga berhasrat mengemukakan cadangan kerjasama strategik ke arah memperkasa pembangunan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga di negeri ini.

Mesyuarat Agung tersebut turut melantik Datuk Roger Chin sebagai Penasihat Kehormat pertama KREATIF Sabah, satu langkah yang dilihat mampu membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif Sabah agar lebih mampan, berdaya saing dan inklusif.

Gambar Roger Chin Menyampaikan Ucapan Dalam Mesyuarat Agung Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah
Datuk Roger Chin menyampaikan ucapan selaku Penasihat Kehormat KREATIF Sabah.

Dalam ucapan sulungnya, Roger menekankan kepentingan perlindungan harta intelek (IP) demi memastikan setiap pengkarya menikmati manfaat daripada hasil ciptaan mereka.

“Pengkarya perlu membaca dan meneliti setiap kontrak yang ditawarkan oleh mana-mana pihak sebelum menandatanganinya. Jangan sesekali menandatangani sesuatu perjanjian tanpa memahami sepenuhnya kandungannya kerana ia melibatkan hak dan kepentingan anda sebagai pemilik karya,” katanya.

“Berkat penubuhan KREATIF Sabah, para pengkarya dan pencipta kini boleh mendapatkan pandangan dari persatuan masing-masing atau terus merujuk kepada saya untuk mendapatkan nasihat dan penelitian terhadap mana-mana kontrak yang ditawarkan,” tambah beliau.

Barisan Ahli Jawatankuasa KREATIF Sabah untuk sesi 2026-2028 diterajui oleh Chester Pang Thien Fook (SAFVA) sebagai Pengerusi, dibantu Guadik Ansiw (PERTISA) selaku Timbalan Pengerusi, Mohd Nazri Saidali (KOPAN) sebagai Setiausaha dan Raimon Sukudat (KOKiS) sebagai Bendahari.

Ahli Exco terdiri daripada Abdul Mazrun Munap (SBC), Chester D. Sinidol (SCREIMO) dan Ramli Ahmad (PBSS).

WhatsApp Image 2026 07 19 at 22.46.30
AJK KREATIF SABAH dan hadirin dari pelbagai cabang seni kreatif mengambil gambar beramai-ramai sebagai tanda kesatuan dalam berpersatuan

Mesyuarat Agung pertama itu turut dihadiri oleh Suzanne Bingkasan, Ketua Pegawai Eksekutif Kinabalu Media (TV Sabah), Prof Madya Dr Puad Bebit, Pengarah Galeri Azman Hashim (GAH) UMS, Eva Chris Anthony, Penolong Pengurus bagi bahagian Creative Chamber, Capacity Building & Ecosystem (CBE) SCENIC, Dr. Zhamriee Gulam Rasul, Pengerusi Persatuan Seni Budaya Kota Kinabalu, Simon Chin, Pengerusi Persatuan Penyanyi Cina Kota Kinabalu Sabah, Romeo Ansow, Pengerusi Penyanyi Songkotoun, Daiman Bona, Presiden Seni Visual Sabah, Suhami Magi, Presiden Persatuan Sanggar Seni Sabah, Siti Emylia, wakil Persatuan Penghibur Tempatan Sabah, Richard Antaim, wakil Pertubuhan Industri Rakaman Sabah, Edward Sinsong wakil KASS serta Harold Egn, komuniti artis visual dan podcast dan Johan Lee, komuniti cosplay dan penganjur acara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal