Buli bukan budaya kita, akta Antibuli 2026 wajar disokong semua pihak – Yazid

yazid

KOTA KINABALU: 24 Jun 2026 – Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa 16 Jun lalu sebagai langkah memperkukuh perlindungan mangsa buli dan mewujudkan persekitaran lebih selamat dan harmoni.

Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata penguatkuasaan akta berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan menangani gejala buli yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan fizikal, emosi dan mental mangsa.

“Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, lisan, psikologi, sosial mahupun siber adalah perbuatan tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun. Setiap individu berhak hidup, belajar dan bekerja dalam suasana selamat, dihormati dan bebas dari gangguan, ancaman atau intimidasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akta tersebut bukan sahaja memberi perlindungan undang-undang lebih jelas kepada mangsa, malah berperanan sebagai mekanisme pencegahan membendung budaya buli daripada terus menular.

Yazid menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, ibu bapa, pemimpin masyarakat, NGO dan agensi berkaitan berganding bahu mendidik generasi menghormati hak orang lain.

“Pendidikan mengenai nilai hormat-menghormati, empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial perlu diterapkan sejak usia muda. Pencegahan lebih baik daripada rawatan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penubuhan Tribunal Antibuli yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan untuk menyediakan saluran lebih teratur dan berkesan memastikan aduan mangsa diberi perhatian dan keadilan ditegakkan.

Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 menjadi pemangkin pembentukan masyarakat lebih prihatin, berakhlak mulia dengan menolak keganasan dan penindasan.

“Buli bukan budaya kita. Hentikan buli, suburkan nilai kemanusiaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal