Di pertemuan cinta Kota Marudu dan Kudat, lahir anak kecil bertumbuh dengan impian melangkah megah atas pentas tradisi dengan azam memartabatkan budaya dan bahasa Rungus.
Perjalanan penuh cabaran berjuang melawan keraguan diri disertai doa dan restu, Chriszebellkah Lorris, 21, berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026. Ia bukan sekadar kemenangan atas pentas; ia adalah kemuncak kepada perjalanan panjang yang penuh cabaran, pengorbanan dan keazaman.
Lebih istimewa, kejayaan itu juga merupakan hadiah untuk kedua ibu bapanya, khususnya ayah yang sentiasa menjadi sumber kekuatannya.

“Suatu hari nanti, anak kau akan berdiri di sana, Ama.”
Itulah janji yang pernah dipendam dalam hati Criszelbellkah ketika kecil setiap kali menonton pertandingan Unduk Ngadau bersama keluarganya.
Anak jati Kota Marudu dan Kudat itu mengakui minat terhadap Unduk Ngadau telah berputik sejak usia muda. Ketika melihat para peserta memperagakan keanggunan dan kebijaksanaan mereka di pentas, dia mula menyimpan impian untuk suatu hari nanti membawa nama bangsa Rungus ke peringkat tertinggi pertandingan tersebut.
Namun, perjalanan menuju impian itu tidak semudah yang disangka.

Selama empat tahun berturut-turut, dari 2023 hingga 2026, beliau terus mencuba dan tidak pernah berputus asa. Setiap tahun hadir dengan cabarannya yang tersendiri, terutama dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan persediaan untuk pertandingan.
“Ada masa saya rasa sangat tertekan kerana perlu membahagikan masa antara pelajaran dan Unduk Ngadau. Kadang-kadang saya tertanya sama ada saya mampu meneruskan semuanya,” katanya sambil tersenyum.
Tetapi cabaran terbesar bukanlah jadual yang padat atau persaingan sengit. Sebaliknya, ia datang dari dirinya sendiri.
“Saya sering meragui kemampuan diri. Saya takut tidak cukup baik dan tidak mampu pergi lebih jauh. Pernah juga terlintas untuk berhenti kerana berasa tidak yakin dengan diri sendiri,” ujarnya dengan wajah yang masih terkenang masa lalu.
Namun setiap kali keraguan itu muncul, beliau memilih untuk terus melangkah.
Kepercayaannya kepada Tuhan menjadi pegangan utama yang membantunya bangkit semula setiap kali berdepan tekanan dan ketakutan.
“Saya serahkan semuanya kepada Tuhan. Saya percaya jika ini memang jalan yang ditetapkan untuk saya, Tuhan akan membuka pintu dan menunjukkan jalan yang terbaik,” katanya.
Bagi Criszelbellkah, pencapaian yang diraih bukan semata-mata mengenai kedudukan atau gelaran. Lebih daripada itu, beliau melihat platform Unduk Ngadau sebagai peluang untuk memperjuangkan identiti bangsanya.

Sebagai seorang wanita muda Rungus, beliau percaya warisan budaya dan bahasa perlu terus dipelihara oleh generasi masa kini.
“Budaya adalah identiti kita. Jika kita sendiri tidak menghargainya, siapa lagi yang akan mempertahankannya?” tegasnya.
Beliau turut menggesa generasi muda supaya tidak malu mempelajari bahasa ibunda dan mengenali akar budaya mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Walaupun ada yang mempersendakan usaha kamu mempelajari budaya dan bahasa sendiri, jangan berhenti. Teruskan belajar dan bangga dengan siapa diri kamu,” katanya dengan penuh kesedaran.
Sebagai pegangan hidup, beliau mengangkat ungkapan masyarakat Rungus yang begitu dekat di hatinya:
“Ong Atagak Boros Tokou, Opunso Bansa Tokou,” ujarnya dengan sepenuh hati.

Kini, selepas mencipta sejarah peribadi dalam Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Criszelbellkah memandang kejayaan itu sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih besar.
Beliau bercita-cita untuk menganjurkan bengkel budaya untuk golongan muda Rungus dan menghasilkan sebuah buku yang mendokumentasikan warisan, bahasa dan tradisi bangsanya agar tidak ditelan zaman.
Kerana baginya, kejayaan sebenar bukanlah berdiri di atas pentas dan menerima penghargaan.
Kejayaan sebenar adalah apabila warisan yang diwariskan oleh nenek moyang terus hidup, dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, tersimpan sebuah kisah yang membuktikan bahawa setiap impian besar bermula dengan keberanian untuk percaya pada diri sendiri, walaupun ketika orang lain belum melihat potensi yang ada.
