Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 25 Oktober 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 93 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di enam daerah sejak 20 hingga 23 Oktober lalu.
Operasi itu dijalankan di Kota Kinabalu, Kudat, Keningau, Ranau, Lahad Datu dan Semporna untuk membanteras kehadiran PATI dan mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
JIM Sabah memaklumkan 255 individu diperiksa sepanjang operasi itu, dengan 93 ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Jumlah tangkapan itu merangkumi 64 warga Filipina, 18 warga Indonesia dan 11 warga Pakistan.

Warga Filipina melibatkan 18 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.
Warga Indonesia melibatkan enam lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Semua 11 warga Pakistan yang ditahan ialah lelaki dewasa.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan diteruskan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri untuk memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Sumber: JIM Negeri Sabah

