Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 2 November 2026 – BIGSABAH Sale 2026 melabuhkan tirai selepas berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam, dengan penekanan kepada pengukuhan jaringan perniagaan, pembangunan keusahawanan dan peluasan peluang perdagangan serantau.
Bertemakan Across Markets, Beyond Borders, penganjuran dari 30 Oktober hingga 1 November itu menghimpunkan lebih 300 pempamer menerusi lebih 600 booth, dengan penyertaan perniagaan dan wakil dari sembilan negara.
Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki berkata, penganjuran kali ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform jualan kepada pengguna, malah memberi penekanan lebih besar kepada penglibatan perniagaan, pembangunan keusahawanan dan peluang pasaran serantau.
“BIGSABAH Sale terus menjadi platform penting kepada pasaran pengguna, namun kami kini memberikan penekanan lebih besar terhadap penglibatan perniagaan, pembangunan keusahawanan dan peluang pasaran serantau,” katanya.

Antara pengisian utama ialah program Trade Connect yang menghimpunkan 60 pedagang, membuka peluang kerjasama dengan komuniti perniagaan tempatan.
Program itu turut menghasilkan dua potensi kerjasama komersial, termasuk usaha syarikat Ruru Mushrooms dari Filipina mengenal pasti pengedar berpotensi di Sabah menerusi Ayuhous Sdn Bhd.
Kedua-dua pihak kini dalam perancangan untuk memformalkan kerjasama berkenaan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).
Greentech Feed Co Ltd dari Thailand turut dihubungkan dengan komuniti pertanian Sabah untuk meneroka peluang pasaran produk makanan burungnya bersama pengusaha tempatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menekankan dalam ucapan disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai, mengenai kepentingan memperkukuh keusahawanan, meningkatkan daya saing perniagaan dan memperluas akses pasaran sebagai sebahagian usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Beliau turut menggalakkan perusahaan tempatan, termasuk di kawasan luar bandar, supaya terus berinovasi, memanfaatkan teknologi dan meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan untuk kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan pasaran.
Kerajaan Negeri Sabah turut menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada usahawan menerusi Belanjawan Sabah 2026, termasuk peruntukan RM5 juta untuk Program Keusahawanan Negeri, RM16.86 juta demi memudah cara penyertaan dalam ekspo domestik dan antarabangsa, dan RM15 juta untuk Program Bantuan SME-UP.
Penganjuran kali ini turut menampilkan Agro Forum, AI Business Scale-Up Bootcamp dan bengkel pembangunan profesional untuk memperkukuh pengetahuan dan keupayaan usahawan.
BIGSABAH Sale 2026 turut menyasarkan untuk berkembang sebagai platform perdagangan dan pengguna yang diiktiraf di rantau Asia Timur ASEAN (East ASEAN), dengan penekanan kepada penyertaan serantau, pemadanan perniagaan dan peluasan pasaran.
Penganjuran itu juga menyokong persediaan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi usaha menghubungkan sektor pelancongan, perdagangan dan keusahawanan tempatan.
-TV Sabah
