TUARAN: 7 Ogos 2026 – Bekas Timbalan Menteri Persekutuan dan bekas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Kalakau Untol @ Harry, menggesa kerajaan supaya menimbang semula cadangan merobohkan Jambatan Sungai Damit yang menjadi kontroversi, sebaliknya menukarkannya menjadi mercu tanda pelancongan, seni dan kebudayaan.
Beliau mengemukakan Konsep STAR iaitu Salvage, Transform, Attract, Revitalize (Selamatkan, Transformasi, Tarik dan Revitalisasi) sebagai alternatif kepada cadangan merobohkan jambatan tersebut, yang akan digantikan dengan jambatan baharu bernilai RM30 juta selepas diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan oleh kenderaan.
“Jutaan ringgit wang awam telah dibelanjakan untuk membina struktur ini. Daripada membelanjakan lebih banyak wang pembayar cukai untuk merobohkannya, kita wajar meneroka potensi menukarkannya menjadi aset awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Tuaran,” katanya.
Di bawah cadangan itu, sebuah jambatan baharu akan dibina untuk kegunaan lalu lintas kenderaan, manakala jambatan sedia ada dikekalkan untuk kegunaan pejalan kaki dan aktiviti komuniti, tertakluk kepada pengesahan jurutera bebas bahawa strukturnya selamat digunakan.
Kalakau berkata, Konsep STAR bertujuan memelihara jambatan berkenaan, mentransformasikannya sebagai lokasi seni, kebudayaan dan rekreasi, menarik lebih ramai pengunjung, dan merancakkan ekonomi tempatan melalui aktiviti pelancongan dan komuniti.
Beliau berkata, idea itu tercetus hasil inspirasi dari golongan belia tempatan dan kejayaan beberapa projek antarabangsa yang menukar infrastruktur lama kepada destinasi pelancongan terkenal, termasuk The High Line di New York, Jambatan Eropah Neurüdnitz–Siekierki di sempadan Jerman–Poland, dan Fiesta Bridge di Trenčín, Slovakia.
“Projek-projek ini membuktikan bahawa infrastruktur yang tidak lagi digunakan boleh ditransformasikan menjadi ruang awam ikonik. Tuaran mempunyai peluang untuk mengubah cabaran kejuruteraan ini menjadi simbol inovasi dan kebanggaan masyarakat,” katanya.
Kalakau menegaskan bahawa aspek keselamatan awam mesti kekal menjadi keutamaan, dengan sebarang usaha mengekalkan jambatan itu tertakluk kepada penilaian struktur oleh pakar bebas dan pelaksanaan semua kerja pemulihan yang diperlukan.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, jurutera, perancang dan pemain industri pelancongan supaya menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara bersama sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai masa depan jambatan itu.

