Bekas Ketua Cawangan KWSP Kota Marudu Josely Taising Calon KDM di DUN Kadamaian

KOTA BELUD : 6 Oktober 2025 — Bekas Ketua Cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kota Marudu, Josely Taising, diumumkan sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, dalam majlis Himpunan Pemuda, Puteri dan Wanita KDM Kadamaian yang diadakan di Dewan Gopog, Taginambur pada Ahad.

Dalam ucapannya, Wetrom mengajak rakyat Kadamaian agar bangkit membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Josely, yang juga anak jati Kadamaian, mempunyai latar akademik dalam bidang sains sosial dan keagamaan dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta Ijazah Sarjana Pengajian Kristian.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Kadamaian.

Pada Pilihan Raya Negeri lalu, Ewon memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,459 undi dalam saingan enam penjuru.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal