Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 19 Ogos 2026 – Barang kawalan bersubsidi bernilai kira-kira RM104,138.40 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau dalam operasi di Jalan Inderasabah, Tawau, semalam, selepas pemiliknya gagal menunjukkan permit memiliki barang berkenaan.
Rampasan itu membabitkan 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG), 340 kilogram minyak masak, bersama sebuah kenderaan Toyota Hilux Single Cab berwarna putih.
Kesemua barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sekali gus memberi amaran kepada individu dan syarikat supaya mematuhi perundangan dengan tidak terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta untuk kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta untuk kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta untuk kesalahan berikutnya.
KPDN turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
Sumber: KPDN Sabah

