KUALA LUMPUR: 2 Oktober 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Israel yang menghalang perjalanan Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan yang membawa sukarelawan antarabangsa serta bantuan penting untuk Gaza.
Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan, tindakan Israel itu mencerminkan sikap angkuh rejim berkenaan yang bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, malah memperlihatkan penghinaan terhadap suara hati masyarakat dunia. Flotila tersebut, katanya, melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan bagi penduduk Gaza yang terus berdepan sekatan berpanjangan.
Anwar turut menegaskan Malaysia akan menggunakan segala saluran sah di peringkat antarabangsa bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam menjamin keselamatan warganegara Malaysia yang terbabit dalam misi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan dan maruah rakyatnya, malah akan terus konsisten memperjuangkan hak serta kebebasan rakyat Palestin.
Tambahnya lagi, selagi rakyat Palestin dinafikan hak dan aspirasi mereka, Malaysia akan berdiri teguh bersama mereka dan tidak akan berganjak dalam menuntut pengakhiran kepada penindasan yang berlarutan sejak generasi lalu.
Sumber: Kenyataan Media
