AI ancam pengetahuan tradisi orang asal

ad60089d 0956 4f81 8a80 1f6cb8eb88f4

KOTA KINABALU: 19 Ogos 2026 — Perkembangan kecerdasan buatan (AI) boleh menyebabkan kehilangan pengetahuan tradisi orang asal jika maklumat berkaitan komuniti itu diberikan kepada teknologi berkenaan tanpa ditangani dengan baik.

Pengerusi Penyelaras Teknikal Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Sabah 2026, Dato Patinggi Andrew Ambrose, berkata AI masih mempunyai keterbatasan dalam memberikan maklumat berkaitan orang asal.

“Kita boleh kehilangan semua pengetahuan tradisi apabila kita memberikan maklumat itu kepada AI,” katanya ketika ditemu bual menerusi program Santai Jaba TV Sabah, semalam.

Menurutnya, perkembangan AI turut menimbulkan persoalan mengenai hak orang asal yang mungkin terkesan dengan teknologi berkenaan, terutama dalam kalangan generasi muda.

Justeru, isu itu akan dibawa ke Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Sabah 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 2026 di Koisan Cultural Village (KCV).

Menurut Beliau, Sabah menggabungkan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini, Indigenous Women and Midwifery, dengan tema Shaping the Future of AI yang dibawa pada tahun sebelumnya.

Katanya, tema wanita orang asal dan perbidanan penting kerana peranan wanita dalam komuniti bukan hanya membantu kelahiran, malah turut menjaga dan mendidik generasi baharu.

“Midwifery adalah sesuatu yang tidak selalu dibincangkan,” katanya.

Tema tersebut akan dibincangkan dalam satu sesi khas yang membabitkan wanita orang asal Borneo yang diketuai Datuk Joanna Kitingan pada konferensi 22 Ogos 2026.

Konferensi itu akan merangkumi lapan sesi berkaitan ilmu, pendidikan dan hak orang asal, dengan hampir 400 peserta dan delegasi dari seluruh Borneo.

Hasil perbincangan itu kemudian akan dirumuskan menerusi Deklarasi Kota Kinabalu, yang akan dikemukakan kepada PBB, kerajaan Malaysia, Indonesia, Brunei dan ASEAN.

Selain menjadi platform perbincangan, sambutan itu turut membuka KCV kepada orang awam sepanjang dua hari untuk menyaksikan konferensi, pameran dan aktiviti kebudayaan.

Antara pengisian ialah The International Indigenous Cultural Ambassador Gala Evening, perarakan pakaian tradisi dari Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei dengan aktiviti untuk belia dan ketua adat.

Andrew berkata, penglibatan masyarakat terutama golongan muda penting untuk memastikan isu hak dan pengetahuan orang asal terus difahami dalam menghadapi perkembangan teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal