NABAWAN: 21 Ogos 2026 — Program “Nadi Seni Warisan” akan dilaksanakan di Nabawan pada 22 Ogos ini bagi mendekatkan generasi muda dengan seni dan warisan budaya tempatan.
Program di bawah Manifesto Kaamatan 2026 itu memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenali, mempelajari dan mencuba seni tradisional, khususnya tarian masyarakat Murut dan Dusun.

Usaha itu diharap dapat meningkatkan penghargaan generasi muda terhadap identiti dan warisan sendiri, di samping membuka ruang kepada belia dan penggiat seni tempatan untuk mengembangkan bakat.
Program yang dijadual berlangsung di SK Tetagas dari 8 pagi hingga 10 malam itu dijangka disertai antara 100 hingga 150 peserta terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah, penggiat seni, guru dan komuniti.
Juara Randawi Tavantang Kaamatan 2026, Dyneley Daud, berkata “Nadi Seni Warisan” membawa mesej bahawa seni dan warisan merupakan denyut kehidupan sesebuah masyarakat.
Menurutnya, apabila seni, bahasa, tarian, muzik, adat dan warisan tidak lagi dikenali generasi muda, identiti masyarakat juga boleh hilang secara perlahan-lahan.
“Dalam mengejar kemajuan, jangan sampai kita kehilangan identiti sendiri. Kalau bukan kita yang belajar, siapa lagi? Kalau bukan generasi kita yang meneruskan, siapa yang akan mewariskannya kepada anak-anak kita nanti?” katanya.
Dyneley berkata, pengalamannya dalam dunia seni dan tarian tradisional menjadi dorongan untuk menjadikan seni dan warisan sebagai salah satu fokus Manifesto Kaamatan 2026.
Tarian bukan sekadar pergerakan, tetapi satu cara untuk mengenali siapa diri sendiri, asal-usul dan warisan dari generasi terdahulu.
Justeru, peserta akan diberi ruang untuk mempelajari dan mengalami sendiri seni budaya tempatan supaya pengetahuan yang diperoleh dapat dikongsikan kepada orang lain.
Jelasnya, kesinambungan program turut diberi perhatian melalui usaha membina jaringan antara belia, sekolah, penggiat seni, komuniti dan pihak berkaitan kebudayaan.
Beliau berharap hubungan antara generasi lama sebagai pewaris ilmu dan generasi muda sebagai penyambung warisan dapat diperkukuh melalui inisiatif berkenaan.

