Belia Sabah Digesa Gunakan Kuasa Undi Tentukan Masa Depan Negeri

KOTA KINABALU: 09 Oktober 2025 — Golongan belia Sabah digesa supaya tidak melepaskan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk menggunakan kuasa undi dalam menentukan hala tuju negeri.

Pengerusi Randawi Tavantang Kaamatan (RTK), Casey Jovial berkata, belia perlu menilai calon berdasarkan keupayaan mereka mendekati rakyat dan memberi ruang kepada golongan muda, bukan sekadar melihat janji kempen.

Menurut beliau, pemimpin yang wajar dipilih ialah mereka yang benar-benar mendengar suara rakyat, mampu berbincang secara terbuka, dan memahami keperluan anak muda.

Casey menegaskan masih terdapat pemimpin yang komited turun padang, membantu serta membuka peluang kepada belia untuk berkembang dan membuktikan tidak semua pemimpin bersikap sama.

Beliau berkata kesilapan memilih pemimpin boleh menjejaskan usaha dan potensi golongan muda dalam organisasi serta komuniti tempatan kerana apabila pemimpin sukar didekati, suara serta idea belia tidak dapat disalurkan secara berkesan.

Casey menambah ramai belia di Sabah mempunyai semangat tinggi tetapi memerlukan peluang dan sokongan dari pihak yang tepat untuk menyerlahkan potensi mereka.

Beliau juga menegaskan belia Sabah kini cukup matang untuk menilai dan memilih pemimpin yang mendengar serta berani bertindak.

Katanya, masa depan negeri bergantung pada tenaga dan semangat golongan muda, dan hubungan saling menghargai antara pemimpin serta belia amat penting bagi kemajuan Sabah.

Sumber: Casey Jovial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal