TAWAU: 7 Okt 2025 — Usaha berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam membanteras penyeludupan berjaya membuahkan hasil apabila satu operasi khas menumpaskan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai di Kampung Sungai Buaya, Tawau, baru-baru ini.
Operasi dijalankan kira-kira jam 10.45 malam pada 5 Oktober lalu itu membawa kepada rampasan 66 kotak rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam bungkusan plastik hitam. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM63,240.
Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga asing bersama sebuah kenderaan jenis Ford Ranger turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki dan menyimpan barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan perairan dan daratan Tawau. Pasukan itu turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti haram yang melanggar undang-undang negara.
PPM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara terpelihara daripada ancaman jenayah penyeludupan.
Sumber: Kenyataan Media