SANDAKAN: 02 Oktober 2025 – Lebih 500 belia dari sekitar Karamunting menyertai Kejohanan Mobile Legends – Datuk George Hiew Vun Zin yang berlangsung di Pasir Putih baru-baru ini.
Sebanyak 100 pasukan e-sukan berentap dalam program yang dianjurkan oleh Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Karamunting, sekali gus menunjukkan minat mendalam golongan muda terhadap sukan elektronik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, yang merasmikan kejohanan berkenaan, menyifatkan ia sebagai bukti generasi muda berani mencuba perkara baharu dan menggunakan bakat ke arah positif.
Beliau berkata kejohanan itu bukan hanya tertumpu kepada kemenangan, sebaliknya menyediakan ruang kepada belia untuk berkumpul, berinteraksi dan mengasah potensi, selain menjauhi pengaruh negatif.
Hiew turut menegaskan sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan belia terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan kesedaran bahawa kerajaan yang stabil mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berikrar untuk terus menyokong penganjuran aktiviti sukan dan e-sukan di peringkat akar umbi bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing, kreatif dan berwawasan.
Sumber: Sabah Media
