KOTA KINABALU: 24 September 2025 – Seorang petani berusia 61 tahun dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur dalam dua kejadian berasingan pada 2021.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melibatkan mangsa berusia 11 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol mangsa di kawasan semak sebuah kebun di Tambunan pada awal 2021.
Hukuman itu diperintahkan bermula dari tarikh jaminan tertuduh dibatalkan, iaitu pada 19 Oktober 2022.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki tersebut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan selepas mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa pada 11 Julai 2021 di kawasan semak berhampiran sebuah kampung.
Namun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara sebenar yang perlu dijalani tertuduh ialah 15 tahun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2021, tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Peter Allion.
Sumber: Sabah Media
