SHAH ALAM :24 September 2025 – Seramai 24 individu ditahan menerusi enam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM54.18 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara rampasan terbesar ialah cubaan menyeludup masuk dadah jenis Fentanyl seberat 960 kilogram bernilai RM30.7 juta melalui Port Klang yang digagalkan dalam Ops Black Ash pada 19 Ogos lalu.
Beliau berkata, Fentanyl dipercayai untuk kegunaan cecair vape dan diperoleh dari sebuah negara di timur.
Dalam operasi itu, polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 22 hingga 31 tahun di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurutnya, dadah tersebut 100 kali lebih kuat berbanding morfin dan heroin, dan telah meragut banyak nyawa di Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain itu, Ops Black Wood pada 23 Ogos di Selangor menahan lima individu tempatan berusia 19 hingga 55 tahun, dan merampas dadah bernilai RM2.7 juta, termasuk cecair dadah 75 kilogram, pil dan serbuk 25.8 gram, ketamin 5 kilogram, cecair MDMA 110 gram, serbuk MDMA 1 kilogram dan pil Erimin 5 seberat 4 gram.
Ops Ceylon pula dijalankan di Lembah Klang dan Muar, Johor dengan rampasan pelbagai dadah termasuk Erimin 5, ekstasi dan heroin bernilai RM3.3 juta.
Ops Blackbutt menyaksikan tiga lelaki tempatan ditahan bersama methamphetamine seberat 202.59 kilogram bernilai RM6.76 juta, manakala Ops Black Birch di Sungai Besi menahan dua lelaki bersama methamphetamine 103.33 kilogram bernilai RM3.32 juta.
Operasi terakhir, Ops Cengal di Lembah Klang, menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dengan rampasan methamphetamine bernilai RM7.4 juta.
Menurut Hussein, kesemua enam sindiket terbabit beroperasi antara dua hingga 10 bulan, dengan empat daripadanya dikesan berpunca dari utara Malaysia.
Beliau berkata, sindiket tersebut bergerak dalam dua rangkaian berbeza dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber: Buletin Tv3