Kota Kinabalu: 23 September 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Karnival Sukan Staf UMS (KARSUMS) 2025 bagi memperkukuh silaturahim warga kerja serta memupuk kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal melalui aktiviti sukan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penganjuran ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya berperanan mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam kalangan staf.
Beliau menjelaskan, KARSUMS 2025 bertujuan mengeratkan hubungan warga kerja di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan, menggalakkan gaya hidup sihat, serta memberi ruang untuk staf berehat dari tekanan tugasan.
Penyertaan dalam acara sukan membantu mengurangkan tekanan kerja serta menyegarkan minda dan semangat apabila kembali ke pejabat.
Dr. Kasim berkata demikian ketika merasmikan KARSUMS 2025 di Stadium UMS pada Isnin.
Beliau menambah, tahun ini karnival diadakan pada hari bekerja untuk membolehkan lebih ramai kakitangan menyertai acara dan menyokong kontinjen masing-masing.
Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, dan Pusat Sukan UMS atas penganjuran yang menghimpunkan pelbagai acara dengan penyertaan semua kampus.
Beliau berharap KARSUMS 2025 berlangsung lancar, harmoni dan tanpa insiden, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat seluruh warga UMS.
Sumber: Sabah Media
