Inkues Zara Qairina: Ibu Tetap Tolak Bedah Siasat Walaupun Diberi Penjelasan

KOTA KINABALU: 17 September 2025 – Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, mendedahkan bahawa ibunya, Noraidah Lamat, tetap menolak pelaksanaan bedah siasat walaupun sudah diberi penjelasan berulang kali mengenai kepentingannya.

Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha, memberitahu mahkamah bahawa beliau bertemu dengan Noraidah pada 17 Julai lalu bersama ahli keluarga terdekat untuk menerangkan prosedur berkenaan.

Katanya, Noraidah dalam keadaan tenang dan sedar sepenuhnya ketika membuat keputusan menolak bedah siasat.

Menurut Dr Logaraj, borang akuan enggan bedah siasat turut ditandatangani oleh ibu mangsa yang menyatakan keluarga tidak mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa walaupun Borang POL61 tidak dikeluarkan polis, bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan dengan persetujuan waris.

Beliau juga memaklumkan kepada pihak hospital bahawa laporan polis berhubung kematian anaknya telah dibuat, namun enggan menyerahkan salinan laporan itu kepada Jabatan Forensik.

Terdahulu, laporan polis dibuat selepas beliau mendapati kesan lebam pada bahagian belakang tubuh arwah.

Namun, hasil maklumat dari pegawai perubatan Neurosurgeri, Dr Pavankumar Balachandran, polis dimaklumkan bahawa Zara meninggal dunia akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.

Susulan itu, pihak polis memutuskan tidak mengeluarkan Borang POL61 dan hospital dibenarkan menyerahkan jenazah kepada keluarga tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina masih diteruskan.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal