LAHAD DATU: 9 September 2025 – Seorang lelaki berusia 58 tahun cedera selepas kenderaan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Tunku, Kampung Sabah Baru, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa yang memandu Proton Iswara Aeroback tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sebuah jentera LFRT bersama sembilan anggota termasuk pasukan EMRS digerakkan ke lokasi.
Operasi menyelamat mengambil masa beberapa minit dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Pemandu lori berusia lingkungan 30-an dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.06 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat.
Sumber: Sabah Dimensi

