Ekspedisi Bukit Tawai Perkukuh Semangat Patriotik dan Hidup Bebas Dadah

Gambar Tawai 1

TELUPID: 30 Ogos 2025 – Program Ekspedisi Skuad: Mendaki Bukit Tawai Telupid 2025 sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah berjaya mengukuhkan semangat patriotisme dan meningkatkan kesedaran belia mengenai gaya hidup sihat dan bebas dadah.

Program itu dianjurkan oleh Skuad Antidadah Daerah Telupid dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan, dengan kerjasama Pejabat Daerah Telupid, Majlis Belia Daerah Telupid (MBDT), dan Gabungan Persatuan Belia.

Seramai 40 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, skuad antidadah, jawatankuasa belia, serta golongan belia dan masyarakat setempat berusia 18 hingga 45 tahun.

Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Telupid, Emmanuel Atin, berkata pendakian Bukit Tawai ini menjadi simbol cabaran hidup yang menuntut kerjasama, disiplin dan daya tahan.

Gambar Tawai 3
Foto : Emmanuel Atin, Pengerusi Skuad Anti Dadah Daerah Telupid bergambar bersama peserta ekspedisi.

Katanya, program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan tanah air sempena Bulan Kebangsaan, malah memperkukuh kesedaran belia tentang kepentingan hidup bebas dadah sebagai asas kejayaan diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Ekspedisi ini turut menyasarkan pemerkasaan peranan belia sebagai ejen perubahan, meningkatkan tahap kecergasan fizikal serta daya tahan mental, menyemai kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, dan mewujudkan jaringan strategik antara agensi, komuniti serta sukarelawan.

Impak positif jelas kelihatan apabila penglibatan belia dalam aktiviti komuniti semakin meningkat, selain wujud kerjasama lebih erat antara AADK, agensi tempatan, dan masyarakat.

Gambar Tawai 2
Foto : Antara peserta yang sampai di Air Terjun Tawai, Telupid

Program itu sekali gus melahirkan modal insan berjiwa patriotik, tahan lasak, berdisiplin dan mampu menjadi teladan kepada generasi seterusnya.

Dengan semangat “Belia Bebas Dadah, Cinta Negara”, program ini dilihat sebagai pelaburan sosial yang kecil dari segi kos tetapi besar dari segi kesan, menjadikan belia sebagai rakan strategik dalam pembinaan negara bangsa yang makmur, sihat fizikal dan kuat semangat patriotiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal