KOTA KINABALU: 25 Ogos 2025 – Manuskrip Abdullah, juga dikenali sebagai Manuskrip Lipatan, muncul sebagai antara dokumen Islam tertua di Sabah dan dipercayai lebih tua daripada Manuskrip Idahan bertarikh 1408 Masihi yang tersimpan dalam simpanan kerajaan Malaysia.
Manuskrip berusia lebih 650 tahun itu kini dipelihara oleh Imam Ali Imam Injir, yang menerima amanah dari Allahyarham ayahnya untuk menjaga tiga khazanah utama etnik Idahan. Selain Manuskrip Abdullah, warisan itu turut merangkumi Manuskrip Idahan 1408 Masihi dan sebuah naskah al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun.
Menurut sumber media, Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS), Haji Abdul Karim Haji Dakog, pameran Manuskrip Abdullah diadakan atas jemputan Pejabat Mufti Negeri Sabah sempena Program Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 bertemakan Tasawwuf Sejati: Manhaj Islah dan Peradaban Insani.
Program itu berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan menghimpunkan lebih 70 tokoh ulama sufi dari rantau Nusantara.
Manuskrip Abdullah ditulis menggunakan dakwat hitam dengan satu lakaran berwarna merah. Kandungannya mencakupi ajaran Tauhid dan Tasawwuf seperti Sifat Dua Puluh, penjelasan Kalimah Tauhid, ilmu makrifat, tingkat nafsu, serta catatan perjalanan selepas kematian yang dalam bahasa Idahan dikenali sebagai Bi’ot.
Haji Abdul Karim menjelaskan, etnik Idahan bukan sahaja mencatat sejarah sebagai kaum pertama memeluk Islam di Sabah pada tahun 1408 Masihi melalui tokoh bernama Abdullah yang menerima hidayah dari pendakwah Syarif Auliah Karim Makhdum, tetapi juga pewaris gua-gua warisan sarang burung di Lahad Datu yang diiktiraf kerajaan negeri. Antara gua yang diusahakan ialah Gua Madai, Gua Tegerong, Gua Baturong, Gua Sipod Batu, Gua Pidtong dan Gua Tepadong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, atas ruang yang diberikan untuk memperkenalkan manuskrip berkenaan kepada umum. Katanya, kewujudan dokumen berusia ratusan tahun ini bukan sekadar sejarah etnik Idahan, tetapi juga sebahagian warisan ilmu yang wajar dikaji oleh institusi pengajian tinggi tempatan demi memperkukuh khazanah sejarah Sabah.
Sumber: Sabah Dimensi