KAJANG: 21 Ogos 2025 – Seramai 94 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua serbuan berasingan di sekitar Selangor Isnin lalu.
Operasi ini dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia pada jam 1.40 petang selepas dua minggu risikan berikutan aduan awam.
Dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan berhampiran Bandar Sungai Long, Kajang pada Isnin lalu, Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya menahan 46 warga asing yang bekerja tanpa pas sah.
Daripada 123 individu yang diperiksa, 46 warga asing terdiri daripada 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 23 hingga 47 tahun dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium Beranang untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi kedua pada Selasa, JIM menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan ke atas sebuah kilang perindustrian serta pasar raya di Balakong dan Puchong. Mereka melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia 18 hingga 49 tahun.
Kesemua tahanan dalam kedua-dua operasi disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: Berita Harian